Selasa, 13 Februari 2018 | 1:12pm
PEMAIN import Pahang, Francis Forkey Doe berterima kasih atas kepercayaan jurulatih Dollah Salleh terhadap dirinya. - Foto Pahang FA

'Terima kasih Dollah Salleh'

KUALA LUMPUR: Itulah ungkapan yang mampu diucapkan oleh pemain import dari Liberia, Francis Forkey Doe atas kepercayaan jurulatih Pahang itu terhadap dirinya yang sekali gus memberi talian hayat untuk dia meneruskan karier di Malaysia.

Tawaran Pahang yang dianggap bagai bulan jatuh ke riba itu juga meletakkan Doe sebagai pemain import paling lama bertahan di negara ini dengan pasukan Terengganu, Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan dan FELDA United turut menjadi persinggahan sejak 2012.

"Bola sepak di Malaysia sangat menakjubkan serta adil kepada semua pemain. Di sini, jika anda bekerja keras, anda boleh hidup selesa. Saya sudah anggap Malaysia seperti rumah kedua saya.

"Pada suatu ketika, saya berfikir masanya sudah sampai untuk meninggalkan Malaysia. Tapi, saya masih menaruh harapan serta yakin Tuhan akan membuka laluan untuk saya.

"Saya tahu saya mempunyai bakat serta seorang yang sentiasa bekerja keras namun saya perlukan seseorang untuk mempercayai saya. Terima kasih Dollah Salleh kerana memberi peluang itu," katanya.

Doe segera membalas kepercayaan Dollah itu dengan satu gol dalam penampilan sulungnya yang turut menyaksikan Pahang mencatat kemenangan pertama musim ini, mengalahkan Kelantan 3-0, Sabtu lalu.

Doe bertekad membantu Tok Gajah memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini malah yakin pasukan berkenaan mampu mencapai sasaran itu.

"Saya turut mendapat tawaran dari kelab luar namun memilih Pahang kerana yakin dengan kualiti pemain, jurulatih serta pengurusannya.

"Saingan memang sengit di sini kerana semua pasukan hebat namun dengan kerja keras, Pahang mampu memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini," kata Doe.

10914 dibaca
Berita Harian X