;
Isnin, 11 Disember 2017 | 9:26pm
PENASIHAT perundangan Nidzam, Datuk Iszam Kamal Ismail (kanan) bersama Mohd Nidzam Adzha Yusoff sedia pertimbang tindakan saman atau terima permohonan maaf. - Foto Khairul Azry Bidin

Ridzwan diberi `talian hayat' terakhir

KUALA LUMPUR: Pemilik akaun Facebook, Muhammad Ridzwan diberi 'talian hayat terakhir' untuk tampil bersemuka dengan jurulatih dan enam pemain bola sepak Kedah bagi mengelak daripada berdepan saman antara RM2 juta hingga RM3 juta.

Ridzwan bakal berdepan saman selepas didakwa membuat tuduhan rasuah ke atas jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff ketika perlawanan akhir Piala Malaysia di Shah Alam pada 4 November lalu.

Selain itu, enam pemain skuad Helang Merah turut dinamakan terbabit sama iaitu Arif Farhan Isa, Rizal Ghazali, Amirul Hisyam Awang Kechik, Syazwan Zainon, Ifwat Akmal Che Kassim dan ketua pasukan Khairul Helmi Johari.

Penasihat perundangan Nidzam, Datuk Iszam Kamal Ismail berkata pihaknya sedia mempertimbangkan hasrat mengambil tindakan saman dan menerima permohonan maaf daripada individu berkenaan sekiranya tampil bersemuka dengan anak guamnya.

"Kalau dia jumpa betul-betul mungkin kita boleh pertimbangkan (permohonan maaf dan hasrat tindakan saman). Dia boleh hubungi jurulatih (Nidzam) atau pemain dan kita aturkan sidang akhbar untuk dia membuat permohonan maaf secara terbuka.

"Mungkin kami boleh terima, tapi sekarang dia tidak buat apa-apa dan permohonan maaf yang dia buat baru-baru ini memang tidak ikhlas. Mana ada orang Melayu kita minta maaf macam itu, tutup muka macam gangster (samseng).

"Kita cuma nak dengar penjelasan daripada dia, kenapa dia buat dakwaan macam itu? Kenapa dia sebut perkataan (jumlah wang) RM200,000?

"Malah, mungkin kita juga akan dapat cerita lain di sebalik itu, sebab dia boleh timbulkan perkataan RM200,000, kita takut ada dalang di belakang dia," katanya, hari ini.

Sebelum ini, Ridzwan membuat permohonan maaf menerusi satu video di Facebook dengan menutup muka dan ia dilihat tidak dapat diterima Nidzam serta enam pemain Kedah itu.

Semalam, Iszam menjelaskan pihaknya boleh mengambil tindakan saman berjumlah antara RM2 juta hingga RM3 juta ke atas Ridzwan berdasarkan populariti Nidzam serta mempunyai reputasi tinggi dalam masyarakat.

2288 dibaca
Berita Harian X