Sabtu, 9 Disember 2017 | 11:57am
PENJAGA gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim ketika sesi latihan skuad kebangsaan persiapan ke Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Jiangsu, China, bulan depan. - Foto BERNAMA

Ifwat enggan fikir isu fitnah

KUALA LUMPUR: Penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim tidak akan membiarkan isu video permohonan maaf oleh pemilik akaun Facebook, Muhamamad Ridzwan mengganggu tumpuan sebaliknya akan kekal fokus terhadap latihan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara.

Sambil mengaku sudah menonton video berkenaan, Ifwat bagaimanapun tidak terlalu memikirkan perkara itu kerana mahu memberi tumpuan merebut tempat dalam skuad yang akan ke Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Jiangsu, China, bulan depan.

Ini kerana persaingan bersama tiga lagi penjaga gol, Haziq Nadzli (Johor Darul Ta'zim), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Kelantan) dan Amierul Hakimi Awang (Terengganu) untuk menambat hati jurulatih, Datuk Ong Kim Swee dianggap terlalu sengit.

"Saya sudah tengok video itu. Buat masa ini saya tidak mahu komen banyak mengenainya, cuma, saya boleh katakan, kalau kawan-kawan lain nak saman, saya akan ikut.

"Tapi, buat masa ini saya tidak mahu fikir sangat mengenai isu ini kerana hendak bagi tumpuan kepada latihan bersama skuad B-23 negara.

"Walaupun isu itu bukan perkara kecil kerana melibatkan tuduhan yang serius namun saya terpaksa lupakan seketika kerana tidak mahu tumpuan terganggu.

"Ini kerana saingan untuk merebut tiga slot penjaga gol yang akan dibawa ke China nanti sangat sengit. Keempat-empat kami sebenarnya memiliki peluang seimbang, sudah tentu saya perlu bekerja keras serta memberi 100 peratus komitmen dalam latihan.

"Jadi, hal lain perlu saya ketepikan dulu termasuk isu tuduhan rasuah serta video permohonan maaf itu. Apa pun tindakan susulan yang akan saya ambil, ia akan dilakukan selepas misi bersama skuad B-23 ini selesai.

"Lagipun isu ini sudah jadi kes polis, jadi biarlah mereka lakukan siasatan dulu," katanya.

Ifwat yang merupakan penjaga gawang utama Kedah sejak dua musim lalu adalah antara enam pemain yang terpalit dengan dakwaan rasuah selepas kekalahan Kedah kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada final Piala Malaysia, 4 November lalu.

Lima lagi pemain adalah Rizal Ghazali, Amirul Hisham Awang Kechik, Arif Farhan Md Isa, Syazwan Zainon dan ketua pasukan, Khairul Helmi Johari. Turut dibabitkan adalah jurulatih, Nidzam Adzha Yusoff.

Dakwaan itu dilakukan oleh Ridzwan melalui Facebook sehingga mendorong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengambil keterangan Nidzam serta keenam-enam pemain berkenaan.

Bagaimanapun, dua hari lalu, Ridzwan tampil 'membersihkan' nama mereka daripada tuduhan itu serta membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi rakaman video yang dimuat naik dalam akaun miliknya.

1324 dibaca
Berita Harian X