Khamis, 7 Disember 2017 | 9:31pm
PEMAIN Manchester United, Juan Mata (dua dari kiri) diasak pemain CSKA Moscow pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Old Trafford, awal pagi semalam. - Foto REUTERS

United boleh atasi ketiadaan Pogba: Mata

LONDON: Manchester United memiliki bakat yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Paul Pogba bagi pertembungan menarik dua kelab teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Manchester City, kata bintang tengah Juan Mata.

Pogba yang sudah menjaringkan tiga gol dalam kempen liga dan menyumbang lima umpanan dalam lapan penampilan buat United musim ini termasuk ketika kemenangan 3-1 ke atas Arsenal, minggu lalu terpaksa disisihkan bagi aksi tetangga Manchester susulan penggantungan selepas dilayangkan kad merah atas kekasarannya terhadap pemain Arsenal, Hector Bellerin.

Ketika Pogba mengharungi penggantungan pertamanya, Mata begitupun yakin rakan sepasukannya yang lain boleh menampung ketiadaan pemain Perancis itu sekali gus membantu Unitad yang menghuni tangga kedua merapatkan jurang lapan mata ke atas City.

"Dia (Pogba) pemain yang menakjubkan... Dia pemain tengah yang amat sempurna, dia boleh melakukan semua perkara. Dia pasti akan amat dirindui tetapi pemain lain akan bermain dan cuba memberikan yang terbaik," kata Mata kepada media Britain.

"Saya fikir kami memiliki skuad yang baik dan mempunyai pemain yang bagus untuk menggantikan mana-mana pemain. Harapnya kami boleh menang untuknya."

Mata menegaskan kepentingan untuk United menang di Old Trafford dengan berkata mustahak untuk kelab membina momentum menjelang tempoh padat jadual perlawanan menjelang musim cuti.

"Kami akan lakukan apa yang kami perlu lakukan," kata pemain kelahiran Sepanyol itu. "Kami pasti gembira untuk berada di tangga teratas liga ketika ini tetapi saya fikir kami melakukan banyak perkara yang hebat.

"Kini, terutama pada Ahad dan ketika Krismas, yang mana kita semua tahu betapa sukarnya untuk menang setiap perlawanan, kami perlu mengekalkan rentak kami jika kami mahu berada di posisi untuk mencabar gelaran... Harapnya kali dapat melakukannya."

City ketika ini tampak berada di prestasi terbaik selepas mencatat 13 kemenangan liga berturut-turut dan kebanyakan peminat dan pengkritik percaya skuad kendalian Pep Guardiola itu sebagai calon utama menjulang gelaran. - Reuters

569 dibaca
Berita Harian X