Khamis, 7 Disember 2017 | 9:24pm
PERTAHANAN Liverpool, Alberto Moreno (dua dari kiri) terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Spartak Moscow di Stadium Anfield, awal pagi semalam. - Foto AFP

Moreno terlepas aksi berdepan Everton

LONDON: Pemain pertahanan, Alberto Moreno berkemungkinan tidak dapat diturunkan bagi pertembungan musuh setempat Merseyside dengan Everton dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad ini selepas mengalami kecederaan ketika Liverpool melakar kemenangan besar dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Perkembangan itu diumumkan oleh pengurus The Reds, Juergen Klopp selepas skuad kendaliannya mencatat kemenangan 7-0 ke atas kelab Russia, Spartak Moscow.

Moreno yang mengadu kesakitan, dikeluarkan pada penghujung babak pertama perlawanan di Anfield selepas bertembung dengan pemain Spartak, Roman Zobnin ketika Liverpool mengesahkan tempat ke peringkat 16 terakhir selaku juara kumpulan.

Klopp berharap kecederaan yang dihadapi pemain berusia 25 tahun itu tidak begitu serius.

"Kami mendapat sedikit kedukaan pada malam tadi apabila Alberto Moreno perlu digantikan. Ia adalah situasi yang aneh," kata Klopp.

"Dia adalah lelaki yang gagah dan jika dia tidak meneruskan perlawanan, kamu perlu menjangkakan ia adalah sesuatu yang serius.

"Di bilik rawatan selepas itu, dia tampak sedikit positif jadi mungkin kami agak bertuah dan ia tidak begitu serius.

"Kami memerlukan kesemua pemain bagi menghadapi minggu selepas ini, terutama pada minggu ini untuk perlawanan pada Ahad."

Kali terakhir Liverpool mencatat kemenangan besar 7-0 dalam saingan Liga Juara-Juara ialah menentang NK Maribor pada Oktober lalu tetapi ia diikuti kekalahan besar 1-4 kepada Tottenham Hotspur.

Justeru, Klopp menggesa pemainnya untuk mengelak satu lagi persembahan hambar dalam aksi liga.

Liverpool ketika ini menghuni tangga keempat liga dan bersedia untuk mengurangkan defisit 14 mata dengan pendahulu, Manchester City. - Reuters

498 dibaca
Berita Harian X