;
Isnin, 4 Disember 2017 | 9:31pm
PEMAIN Shahzan Muda FC, Mohd Rifaie Awang Long (dua dari kanan) dikawal pemain UKM FC ketika beraksi pada aksi separuh akhir pertama Piala FAM di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh. - Foto Ihsan Dari Shahzan Muda Fc

Shahzan Muda kekal bersaing di Liga M

KUANTAN: Kelab Bolasepak Shahzan Muda (Shahzan Muda) mengesahkan pasukan itu akan kekal beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2018.

Pengumuman itu dibuat melalui laman sosial Facebook rasmi Shahzan Muda Shahzan Muda Football Club, sekali gus mengesahkan mereka akan beraksi dalam saingan Piala FAM.

Perkembangan terkini itu menamatkan spekulasi mengenai nasib kelab berkenaan yang dikatakan berkemungkinan menarik diri daripada saingan Liga M.

Bagi menghadapi musim 2018, kelab dari Pahang itu turut membuat penambahbaikan nama pasukan iaitu Shahzan Muda Football Club berbanding sebelum ini dikenali sebagai Shahzan Muda Sport Club.

Musim ini, kelab yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Tajuddin Nor itu layak ke separuh akhir saingan Piala FAM.

Bagaimanapun, impian skuad The Dolphin untuk melangkah ke final tersekat selepas tewas kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC menerusi agregat 0-1 dalam usaha untuk kembali ke saingan Liga Perdana.

Mereka sekali lagi gagal menamatkan badi melangkah ke Liga Perdana selepas kali terakhir Shahzan Muda melakukannya pada 2010.

Musim ini, Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh menjadi gelanggang rasmi kelab berkenaan.

Berita Harian X