Jumaat, 13 Oktober 2017 | 9:37pm
PENYERANG FELDA United, Thiago Augusto terpaksa mengetepikan seketika persahabatan dengan pemain Kedah pada pertemuan separuh akhir pertama di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Ahad ini.

Kawan jadi lawan Augusto

BANGI: Penyerang FELDA United, Thiago Augusto terpaksa mengetepikan seketika hubungan persahabatan dengan pemain Kedah menjelang pertembungan dengan bekas pasukannya itu pada separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Ahad ini.

Augusto yang dipinjamkan FELDA United kepada Kedah tahun lalu meledak lima gol dalam saingan Piala Malaysia untuk membantu Helang Merah mencipta kejuaraan.

Pada musim 2015, pemain kelahiran Brazil itu termasuk dalam senarai penjaring terbanyak kejohanan sama selepas meledak lapan gol untuk membantu FELDA United mara ke separuh akhir sebelum tewas kepada Kedah dengan agregat 4-3.

Augusto berkata, perasaannya ketika ini bercampur apabila terpaksa berdepan Kedah sekali lagi walaupun turut menjaringkan gol ketika FELDA United menewaskan Helang Merah 3-1 pada saingan Liga Super di Alor Setar, 20 September lalu.

"Saya fikir pertemuan dengan Kedah akan menjadi satu perlawanan yang sengit," kata Augusto ketika ditemui pada sesi latihan FELDA United di sini, hari ini.

"Saya sedar mereka mempunyai semangat melawan yang sangat tinggi, tapi kami bekerja keras sejak dua minggu lalu.

"Mereka tidak melakukan banyak perubahan pemain dengan hanya menukar dua pemain import dan mengekalkan pemain tempatan. Mereka pasukan yang kuat, tapi kami juga pasukan yang baik dan saya fikir ia akan menjadi perlawanan yang menarik.

"Tahun lalu, kami (Kedah) bekerja keras untuk menang dan sangat menarik untuk beraksi di final. Saya fikir peluang 50-50, kedua-dua pasukan sama kuat."

Augusto sudah mengumpul 15 gol bersama FELDA United musim ini, termasuk empat dalam Piala Malaysia dan berpeluang menambah jumlah itu di Jengka, Ahad ini.

1288 dibaca
Berita Harian X