Jumaat, 13 Oktober 2017 | 9:09pm
BEKAS jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan (kiri) harap Nelo Vingada terima segala kritikan oleh peminat bola sepak Malaysia.

Desak Vingada letak jawatan perkara biasa

KUALA LUMPUR: Tindakan mendesak Nelo Vingada meletakkan jawatan sebagai jurulatih skuad kebangsaan susulan prestasi buruk Harimau Malaysia dianggap sebagai perkara biasa.

Bekas jurulatih dan pemain kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menjelaskan jurulatih kelahiran Portugal itu perlu menerima segala kritikan dan tohmahan yang dilemparkan peminat bola sepak Malaysia yang jelas sudah lama mahu melihat Harimau Malaya bangkit daripada masalah prestasi.

"Kita tahu bola sepak Malaysia begitu merudum ketika ini, kita hanya boleh berbangga dengan saingan liga tempatan. Tapi di peringkat antarabangsa memang kita selalu kecewa.

"Saban tahun, malah saban hari bila berlaku krisis macam ini iaitu keputusan pasukan kebangsaan tidak memihak kepada kita, macam-macam kita dengar suruh letak jawatan.

"Biasalah (didesak suruh letak jawatan), jadi sesiapa saja yang ambil tempat itu (sebagai jurulatih kebangsaan) perlu bersedia menghadapi kritikan dan tohmahan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh dan segelintir penyokong mendesak Vingada melepaskan jawatan selepas skuadnya tewas tewas 0-2 kepada Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019, Selasa lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika menjawab soalan ahli panel dalam sesi soal jawab di JDT Cafe, kelmarin mengesahkan pengendali berusia 64 tahun itu masih kekal bersama Harimau Malaya.

Selain itu, Wan Jamak turut menyifatkan badan induk itu mungkin mempunyai perancangan jangka panjang kerana masih mengekalkan Vingada di kerusi panas itu.

"Kalau dia (Vingada) rasa sudah tidak mampu lagi mengendalikan pasukan untuk mendapatkan keputusan yang baik, dia sendiri yang perlu buat pilihan sama nak mengundur diri atau sebaliknya.

"Namun, kalau FAM mempunyai perancangan jangka panjang untuk jurulatih itu, ia terpulang kepada pengurusan badan induk berkenaan," katanya.

1248 dibaca
Berita Harian X