Jumaat, 13 Oktober 2017 | 6:21pm
PEMAIN import JDT, Insa tekad bawa JDT ke pentas final Piala Malaysia 2017.

Insa tak sabar benam Perak

JOHOR BAHRU: Menggenggam dua kejuaraan dalam tempoh setahun dengan dua pasukan berbeza nyata mengundang keghairahan buat Natxo Insa yang menyimpan hasrat untuk membantu Johor Darul Ta'zim (JDT) mara ke pentas final Piala Malaysia musim ini.

Insa yang berstatus pemain kacukan tidak menyembunyikan kegembiraannya selepas membantu kelab lamanya, Levante Union Deportiva muncul juara Liga Segunda Sepanyol untuk layak ke La Liga musim ini dan kemudian membantu JDT muncul juara empat musim berturut-turut saingan Liga Super.

Malah, dia yang dipilih sebagai Pemain Terbaik Liga Super Bulan September menyifatkan anugerah itu menyuntik semangat kepadanya untuk memperaga aksi terbaik apabila turun berdepan Perak pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh, Ahad ini.

"Anugerah selaku pemain terbaik ibarat bonus dan ia beri lebih motivasi untuk mempamerkan aksi konsisten bagi membantu JDT memenangi perlawanan separuh akhir pertama nanti.

"Sudah tentu saya gembira kerana bukan satu tugas mudah untuk memenangi dua kejuaraan dengan dua pasukan berbeza dalam tempoh setahun dan ia amat memberi kekuatan kepada saya meneruskan kecemerlangan bersama JDT.

"Kini kami sedang mengintai peluang untuk memburu Piala Malaysia dan saya ingin menjulang kejuaraan itu untuk koleksi piala ketiga buat diri saya, malah rakan ada memberitahu saya Piala Malaysia adalah trofi tertua di rantau Asia.

"Apapun, aksi menentang Perak tentunya cukup mencabar buat kami dan perlu bersiap sedia dengan corak permainan yang lebih mantap kerana aksi pertama di tempat lawan dan kami mahu cari kemenangan sekali gus membawa pulang bekalan selesa," katanya.

Insa menegaskan Perak bukan calang-calang pasukan yang mudah ditewaskan, sebaliknya pasukan itu memiliki barisan pemain yang berkualiti dan kemenangan 2-1 ketika aksi saingan liga pada 26 Julai lalu membuktikan betapa pasukan itu sukar dijinakkan.

Dia juga tidak menolak corak taktikal skuad The Bos Gaurus itu yang kerap melancarkan serangan balas pantas mampu memberi ancaman kepada benteng pertahanan Harimau Selatan.

"Walaupun ada ketika mereka bermain agak keras namun itu sudah lumrah dalam permainan bola sepak dan kami harus bijak mengatasi corak permainan itu dan paling penting sentiasa tenang dan mengikut perancangan taktikal yang dibentuk jurulatih (Ulisses Morais).

"Sepanjang lebih dua minggu kami membuat persiapan dan saya lihat sendiri semua rakan sepasukan memberi komitmen yang tinggi dalam latihan dan kami sudah bersedia untuk berdepan Perak," kata Insa.

2102 dibaca
Berita Harian X