Jumaat, 13 Oktober 2017 | 2:55pm
JURULATIH Ecuador, Jorge Celico membuat laporan berserta segala fakta terperinci berkenaan lima pemain Ecuador yang didapati menyelinap keluar dari hotel penginapan pasukan sebelum kekalahan kepada Argentina pada aksi kelayakan Piala Dunia. - Foto AFP

Menyelinap keluar hotel, Ecuador gantung 5 pemain

QUITO: Lima pemain Ecuador digantung daripada skuad kebangsaan selepas didapati menyelinap keluar dari hotel penginapan pasukan sebelum kekalahan 1-3 kepada Argentina pada aksi kelayakan Piala Dunia di Quito.

Ia diumumkan oleh Persekutuan Bola Sepak Ecuador, namun nama pemain yang digantung itu tidak didedahkan.

Pada aksi itu, Argentina memerlukan mata penting untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir Piala Dunia di Russia, tahun depan.

Sebaik saja perlawanan berlangsung, Ecuador mendahului permainan seawal minit pertama, namun Lionel Messi melakar hatrik untuk memastikan slot Argentina ke Piala Dunia.

"Laporan jurulatih (Jorge Celico) ada bersama kami berserta segala fakta terperinci dan jawatankuasa memutuskan untuk menggantung lima pemain itu daripada semua aktiviti pasukan kebangsaan Ecuador," menurut kenyataan Persekutuan Bola Sepak Ecuador.

Ecuador memulakan kempen kelayakan dengan baik apabila meraih kemenangan bersih dalam empat perlawanan awal, namun sekadar menang dua perlawanan pada baki 14 perlawanan selepas itu.

Hasilnya, Ecuador hanya menamatkan saingan di tempat kelapan daripada 10 pasukan sekali gus gagal layak ke Piala Dunia 2018. - Reuters

445 dibaca
Berita Harian X