Jumaat, 6 Oktober 2017 | 7:55pm
PENYERANG Perlis, Zafuan Azeman (kiri) berharap dapat berhijrah musim hadapan dengan mengintai peluang beraksi di Thailand. - Foto Hafizudin Mohd Safar

Zafuan tunggu khabar gembira dari Thailand

KUALA LUMPUR: Penyerang skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Zafuan Azeman berharap dapat berhijrah musim hadapan dengan beraksi bersama kelab luar negara.

Menurut penyerang muda Perlis itu, dia mengintai peluang beraksi di Thailand dan sedang menunggu maklum balas dari satu kelab yang berpangkalan di negara Gajah Perang itu.

"Saya berazam beraksi di peringkat lebih tinggi, jadi saya merancang beraksi di kelab luar negara. Saya sedang menunggu keputusan dari satu pasukan Thailand dan andai diizinkan, saya akan beraksi di sana pada musim hadapan.

"Pada peringkat usia sebegini, penting bagi saya sentiasa dapat beraksi untuk mendapatkan waktu permainan walaupun sekadar menyertai pasukan yang tidak begitu kuat.

"Saya berpendapat inilah langkah terbaik bagi memastikan karier saya mampu berkembang dan pergi lebih jauh," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.


PEMAIN Perlis, Zafuan Azeman (dua dari kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada aksi Liga Perdana. - Foto Azhar Ramli

Mengulas lanjut persiapan skuad B-19 bagi mengharungi Kelayakan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Korea Selatan hujung bulan ini, pemain berusia 18 tahun itu mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dalam usaha mereka bersaing pada kejohanan itu.

"Prestasi pada Kejuaraan B-18 Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) 2017 di Myanmar bulan lalu masih belum mantap walaupun kami berjaya mara ke final meskipun sekadar menjalani persiapan yang singkat.

"Justeru, tempoh tiga minggu sebelum ke Korea Selatan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperbaiki apa-apa kelemahan selain mencipta keserasian antara pemain dalam pasukan ini," katanya.

Skuad B-19 kebangsaan dijadual berlepas ke Korea Selatan pada 28 Oktober ini bagi menghadapi empat perlawanan kelayakan bagi Kumpulan F dengan berdepan Timor-Leste pada 31 Oktober, Brunei pada 4 November, Indonesia pada 6 November dan tuan rumah, Korea Selatan pada 8 November.

Berita Harian X