Isnin, 18 September 2017 | 6:49pm
PEMAIN Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid (kiri) mengasak pemain Pahang, Mohd Faisal Mohd Rosli pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Akhyar tak hilang semangat

KUALA LUMPUR: Dua kali kecundang di pentas final dalam tempoh tiga minggu adalah kekecewaan yang sukar dilalui penyerang muda negara, Akhyar Abdul Rashid.

Bagaimanapun, dia yang menjadi tonggak skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara yang muncul naib juara di Kejohanan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) B-18 di Yangon, Myanmar semalam, percaya apa yang dilalui itu akan menguatkan lagi semangatnya bagi mengharungi misi seterusnya iaitu kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Korea Selatan, bulan depan.

"Memang kecewa sangat sebab dua kali kalah di final dengan Thailand tapi pada saya, ini adalah sebahagian lumrah dalam bola sepak yang perlu saya hadapi. Banyak yang saya belajar ketika beraksi di Sukan SEA (Kuala Lumpur 2017) dan kejohanan AFF ini.

"Saya percaya masih banyak lagi peluang untuk meraih kejayaan selepas ini, jadi saya hanya perlu berusaha lebih kuat," kata pemain Kedah itu.

Harapan Akhyar, 18, untuk menebus kegagalan skuad B-22 negara yang tewas 0-1 kepada Thailand di final Sukan SEA bulan lalu musnah apabila Malaysia dikecewakan sekali lagi pada final Kejohanan AFF B-18 di tangan skuad Gajah Perang itu 0-2.

Dia yang meledak tiga gol sepanjang kempen kejohanan itu dijangka akan terus menjadi sandaran jurulatih Bojan Hodak pada pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Korea Selatan, 31 Oktober hingga 8 November depan.

"Kalau kita lihat, tidak ada banyak jurang antara kita dengan Thailand. Kita bermain baik pada final, cuma kita leka dua, tiga minit untuk Thailand hukum kita. Jadi kita kena terus pandang ke depan dan selepas ini untuk Kejohanan AFC, semua pemain perlu lebih bersedia," kata Akhyar yang sebelum ini membantu skuad B-22 negara layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-22 di China, Januari depan.

Pada pusingan kelayakan AFC B-19, Malaysia bakal bersaing dengan tuan rumah Korea Selatan, Indonesia, Timor Leste dan Brunei dalam Kumpulan F.

1809 dibaca
Berita Harian X