Isnin, 18 September 2017 | 6:44pm
JURULATIH skuad B-19 negara, Bojan Hodak (tiga dari kiri) tidak mahu pemainnya terus dibelenggu kekecewaan kerana mereka mempunyai misi lebih penting pada kelayakan AFC di Korea Selatan, bermula 31 Oktober hingga 8 November ini. - Foto FAM

Hodak mahu pemain buru slot AFC B-19

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad Bawah 19 Tahun (B-19) Bojan Hodak tetap menaruh keyakinan tinggi terhadap anak buahnya untuk melepasi kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 bulan depan, meskipun hanya muncul naib juara Kejuaraan B-18 Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) di Yangon, Myanmar, semalam.

Pengendali kelahiran Croatia itu berkata, beliau tidak mahu pemainnya terus dibelenggu kekecewaan kerana mereka mempunyai misi lebih penting pada kelayakan AFC di Korea Selatan, bermula 31 Oktober hingga 8 November ini.

Dengan potensi pemain yang ada, pengendali kelahiran Croatia itu percaya mereka mampu merebut salah satu slot ke pusingan akhir apabila bersaing dengan pasukan tuan rumah Korea Selatan, Indonesia, Timor Leste dan Brunei dalam Kumpulan F.

"Semua pemain akan berkumpul semula pada Oktober untuk persiapan menghadapi pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Korea Selatan. Secara realistiknya, peluang kita untuk layak selaku juara kumpulan agak sukar kerana kita akan berdepan tuan rumah Korea Selatan.

"Tapi kita masih ada peluang bagi merebut salah satu daripada lima pasukan kedua terbaik kumpulan pusingan kelayakan untuk layak ke pusingan akhir tahun depan. Saya percaya halangan utama sudah pastinya Korea Selatan dan Indonesia," kata Hodak.

Indonesia sudah layak ke pusingan akhir selaku pasukan tuan rumah kejohanan tahun depan dan andai pasukan itu muncul juara atau pasukan kedua terbaik, maka slot lima pasukan kedua terbaik akan ditambah satu lagi.


BOJAN Hodak percaya skuad B-19 negara mampu merebut salah satu slot ke pusingan akhir apabila bersaing dengan pasukan tuan rumah Korea Selatan, Indonesia, Timor Leste dan Brunei dalam Kumpulan F. - Foto FAM

Skuad B-19 negara tiba di tanah air dari Yangon hari ini dengan membawa perkhabaran duka selepas impian mereka untuk melakar sejarah tidak kesampaian apabila tewas 0-2 di tangan Thailand pada final AFF B-18 di Stadium Thuwunna, semalam.

Menurut Hodak yang juga bekas jurulatih Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT), beliau akan terus memantau prestasi pemain sekembali mereka ke pangkuan pasukan masing-masing dan tidak menolak kemungkinan akan membuat sedikit perubahan sebelum ke Korea Selatan.

"Saya dan barisan kejurulatihan akan memantau perkembangan pemain dan jika ada pemain lain bukan daripada skuad ini yang berpotensi, saya akan memanggil pemain terbabit untuk diserapkan," katanya.

2206 dibaca
Berita Harian X