Khamis, 14 September 2017 | 5:33pm
BIBI Ramjani Ilias Khan menggesa PBJ yang akan menentukan presiden baharu KAFA pada 17 September ini tidak mensia-siakan peluang itu. - Foto Syamsi Suhaimi

Pilih presiden berkaliber - Bibi Ramjani

KOTA BHARU: Usahawan wanita, Bibi Ramjani Ilias Khan berharap Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) memilih Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang berkaliber dan berwibawa.

Justeru, beliau menggesa PBJ yang akan menentukan presiden baharu KAFA pada 17 September ini tidak mensia-siakan peluang itu kerana prestasi TRW kini amat menyedihkan dan memerlukan pemulihan segera.

"Hasrat saya menawarkan diri bertanding jawatan presiden kerana mahu memulihkan prestasi pasukan selain mengembalikan kekuatan TRW.

"Peluang saya tetap ada untuk menerajui kepemimpinan KAFA selepas mendapat sokongan kuat penyokong yang mahu melihat perubahan dilakukan oleh muka baharu.

"Rata-rata penyokong mahu perubahan bermula dari akar umbi dilakukan presiden baharu dan perkara itu sememangnya menjadi agenda saya sejak awal lagi.

"Namun penyokong tidak mempunyai kuasa untuk memilih dan sebarang keputusan hanya terletak pada tangan PBJ," katanya hari ini.

Beliau yang pernah menjadi penaja TRW melalui Desa Murni Batik tahun 2013 berkata beliau berharap pemilihan itu tidak menjejaskan semangat pemain kerana TRW masih mempunyai perlawanan yang perlu dilalui musim ini.

870 dibaca
Berita Harian X