Rabu, 13 September 2017 | 9:54pm
PENGENDALI skuad B-19 negara, Bojan Hodak mendedahkan pemainnya baru menguasai 40 peratus daripada corak latihan diterapkan. - Foto Danial Saad

Perjalanan skuad B-19 masih jauh: Hodak

KUALA LUMPUR: Skuad kendalian Bojan Hodak mengungguli saingan Kumpulan A Kejuaraan AFF Bawah 18 Tahun (B-18) di Yangon, tetapi bagi pengendali itu anak buahnya belum memenuhi corak permainan yang dirancangnya.

Walaupun baru dua minggu menjalani latihan pusat, skuad bawah 19 tahun (B-19) negara kini menjuarai kumpulan, mengatasi Thailand dengan kelebihan perbezaan jaringan.

Hodak mendedahkan pemainnya baru menguasai 40 peratus daripada corak latihan diterapkan.

"Daripada skala satu hingga 10, pasukan saya berada di skala empat tentang bagaimana saya mahu bermain cara bola sepak saya... perjalanannya masih jauh.

"Pemain saya mempunyai kualiti individu, tetapi mereka masih belum mencapai persefahaman sebagai satu pasukan yang baik.

"Sesetengah pemain akan mencapainya dalam tempoh beberapa hari atau minggu, sesetengah lagi mungkin akan mengambil masa beberapa tahun... ada juga yang tidak akan faham langsung.

"Secara umumnya, ia bergantung kepada kemampuan mereka belajar. Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk membentuk kualiti tinggi kepada pemain," katanya.

Jurulatih dari Croatia itu berkata, pemain perlu menguasai sekurang-kurangnya 80 peratus daripada sistem permainan yang cuba diterapkan sebelum menyertai pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Korea Selatan pada 31 Oktober hingga 8 November ini.

Untuk kejohanan kelayakan itu, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan F bersama tuan rumah Korea Selatan, Indonesia, Timor Leste dan Brunei.

"Korea Selatan adalah pasukan yang bagus, manakala Timor Leste bakal tampil lebih kuat berbanding persembahan di Kejohanan AFF B-18 sekarang.

"Timor Leste yang tersingkir di peringkat kumpulan, beraksi tanpa empat tonggak mereka yang ketika ini bermain di Eropah dan Korea Selatan," kata Hodak.

1381 dibaca
Berita Harian X