Rabu, 13 September 2017 | 6:30pm
CALON Presiden KAFA, Datuk Shaari Hassan. - Foto Fathil Asri

Nasir calon terbaik: Shaari

KOTA BHARU: Pengerusi Chengal Jati Sdn Bhd, Datuk Shaari Hassan, yang turut dicalonkan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), memberi sokongannya untuk Datuk Mohamad Nasir Hamzah menerajui badan induk itu.

Shaari berkata, pengalaman luas Mohamad Nasir yang banyak membantu KAFA daripada segi kewangan ternyata memberi kelebihan untuk beliau memenangi perebutan kerusi nombor satu badan induk itu.

"Saya yakin keikhlasan Mohamad Nasir untuk memulihkan KAFA dan memperkuatkan The Red Warriors (TRW) membuktikan beliau calon terbaik yang layak memimpin persatuan bola sepak negeri ini.

"Malah, beberapa penaja sudah menyatakan kesediaan untuk menjadi penaja TRW jika beliau bertanding jawatan presiden berbeza dengan calon lain yang tiada sebarang kelebihan.

"Jawatan Presiden bukan untuk mengejar populariti malah menuntut calon yang terpilih mengembalikan semula kegemilangan TRW yang pernah digeruni pihak lawan satu ketika dulu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Shaari yang juga penaja The Red Warriors (TRW) turut dicalonkan bersama seorang lagi Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail, dan usahawan wanita, Bibi Ramjani Ilias Khan untuk bertanding jawatan Presiden KAFA.

Shaari berkata beliau mengharapkan perwakilan memilih calon berkemampuan untuk menerajui KAFA yang sebelum ini pernah digelar 'kilang mencetak pemain profesional', tetapi seakan semakin hilang fungsinya.

"Pemilihan calon presiden yang berkebolehan diharap dapat mengembalikan semula gelaran 'Jaguh Pantai Timur' yang kini semakin hilang taringnya," katanya.

1644 dibaca
Berita Harian X