Isnin, 11 September 2017 | 10:15pm
PEMAIN Felda United tak pandang remeh PKNP FC pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, Jumaat ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal

FELDA Utd tak pandang remeh PKNP

KUALA LUMPUR: FELDA United (FU) tidak akan memandang sebelah mata pertemuan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, Jumaat ini.

Pengendali FU, B Sathianathan berkata, walaupun PKNP adalah pendatang baharu dalam saingan utama Liga Malaysia (Liga-M) yang beraksi di Liga Perdana, selain dibarisi ramai pemain kurang ternama, ia bukan jaminan laluan mudah buat skuad The Fighters.

Berbanding dengan anak buahnya yang dianggotai pemain berpengalaman dan berstatus bintang, Sathianathan mengingatkan pemainnya supaya menghormati lawan yang diakui mampu menghukum pasukannya andai pemain alpa.

"Tiada istilah kami pasukan pilihan dalam aksi suku akhir itu, biarpun mereka (PKNP) hanya beraksi di liga kedua tempatan dan mempertaruhkan pemain muda saja.

"Bagi saya, apabila mereka layak ke suku akhir dengan muncul juara Kumpulan A yang turut diisi Pahang, saya anggap mereka juga kuat.

"Malah, berdasarkan keputusan sebelum ini, PKNP berjaya menewaskan Pahang yang memiliki ramai pemain kebangsaan dan import kelas antarabangsa.

"Keputusan itu membuktikan PKNP juga memiliki kualiti setanding dengan pasukan dari Liga Super. Jadi saya anggap perlawanan kami ini cukup sukar dan pemain perlu fokus apabila menentang mereka," katanya.

Sebelum ini, FU menamatkan kempen peringkat Kumpulan B di tangga kedua apabila mengumpul 11 mata, di belakang Perak yang muncul juara kumpulan dengan 16 mata.

Selaku naib juara kumpulan, FU terpaksa berdepan juara Kumpulan A iaitu PKNP yang menamatkan saingan di tangga teratas hasil kutipan 11 mata, mengatasi Pahang (9 mata).

"Permainan mereka juga tersusun dan pertahanan pun bagus hingga Pahang sukar nak membolosi gawang mereka. Apa yang mustahak, kami perlu terus memperkemaskan jentera serangan dan perbaiki kelemahan yang ada jika mahu mara ke separuh akhir," katanya.

368 dibaca
Berita Harian X