Isnin, 11 September 2017 | 3:02pm
AKSI Irfan Zakaria (kiri) ketika menentang Indonesia pada separuh akhir KL2017 di Stadium Shah Alam, baru-baru ini. - Foto Osman Adnan

Irfan sedia sarung jersi Harimau Malaya

MELAKA: Penyumbang pingat perak buat skuad bola sepak sukan SEA 2017, Muhammad Irfan Zakaria, 22, sedia menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya diberi peluang.

Baginya usia bukan penghalang dan dia bersedia pada bila -bila masa andai dipanggil ketua jurulatih negara Nelo Vingada untuk membarisi skuad berkenaan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2019. 

Menurutnya, peluang menyertai skuad negara sentiasa menjadi keutamaannya walaupun mengakui sedar pengalaman dimilikinya masih cetek. 

"Tiada sebab saya tidak mampu untuk memberikan yang terbaik dan menunjukkan prestasi yang diharapkan, malah untuk berada di dalam radar skuad kebangsaan sentiasa tersemat di dalam jiwa saya. 

"Apapun terpulang kepada keputusan pengendali negara menentukannya. Sebagai pemain sudah pasti saya mahu beraksi untuk skuad negara dan mencurah bakti untuk kejayaan Malaysia," kata pemain berasal dari Cheras, Kuala Lumpur itu. 

Pemain Liga Perdana The City Boys itu berkata, dia serasi berada sebagai pemain pertahanan tengah bersama skuad Sukan SEA lalu namun tidak menolak sebarang tugasan yang diberikan jurulatih termasuk di posisi tengah seperti bersama KL ketika ini. 

Katanya, sebagai pemain dia bersedia untuk ditempatkan di mana-mana posisi dan kemahiran boleh digilap untuk menjadi pemain serba boleh. 

Beberapa nama pemain bawah 22 tahun negara sebelum ini berada dalam radar Harimau Malaya selain desakan pengikut setia bola sepak negara yang mahukan terdapat pemain muda dalam pasukan berkenaan. 

Antara pemain yang sering menjadi bicara hangat untuk mereka ditempatkan di skuad utama termasuk Adam Nor Azlin (Selangor), Muhammad Adib Zainuddin dan N Thanabalan (FELCRA FC ), serta pemain Pahang Muhamad Nor Azam Abdul Azih.

2084 dibaca
Berita Harian X