Isnin, 11 September 2017 | 2:35pm
TAN Sri Annuar Musa dicalonkan semula bertanding jawatan Presiden KAFA. - Foto Zaman Huri Isa

Annuar antara 5 dicalonkan rebut presiden KAFA

KOTA BHARU: Tan Sri Annuar Musa dicalonkan semula untuk bertanding jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi penggal 2017-2021 pada kongres badan induk itu 17 September ini.

Beliau yang pernah menyandang jawatan berkenaan sejak 2008, sebelum meletak jawatan pada November 2016, dicalonkan bersama empat individu lain.

Pencalonan Annuar tentunya agak mengejutkan kerana beliau sebelum ini mengumumkan untuk tidak bertanding semula bagi memberi laluan kepada muka baharu.

Calon lain adalah Naib Presiden KAFA, Datuk Mohamad Nasir Hamzah dan Datuk Rosmadi Ismail; Pengerusi Chengal Jati Sdn Bhd, Datuk Shaari Hassan dan usahawan wanita, Bibi Ramjani Ilias Khan.

Perkembangan itu itu disahkan oleh Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor dalam satu kenyataan media di sini, sebentar tadi, selepas tarikh tutup pencalonan berakhir pukul 5 petang semalam.

"Kelima-lima mereka dicalonkan oleh Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) dengan pemilihan akan dilakukan pada 17 September ini di Kota Bharu," katanya.

Ismail berkata, bagi jawatan timbalan presiden, seramai empat dicalonkan oleh PBJ iaitu Datuk Seri Afandi Hamzah bersama Rosmadi, Mohamad Nasir dan Shaari.

"Seramai 13 calon diketengahkan oleh PBJ untuk jawatan naib presiden yang menyaksikan pencalonan bekas pemain bola sepak, tokoh korporat, pentadbir, ahli politik dan sebagainya.

"KAFA memutuskan tarikh penerimaan pengesahan calon pada atau sebelum 14 September jam 5.00 petang. Bagi calon yang membuat pengesahan penerimaan, mereka boleh menarik diri sebelum tarikh di atas," katanya.

973 dibaca
Berita Harian X