Ahad, 10 September 2017 | 7:59pm
PENGARAH Urusan BSC , Effendi Jagan Abdullah menasihatkan pemain agar menyertai kelab besar di sana kerana mampu berikan pengalaman baik buat pemain kita. - Foto Osman Adnan

Bukan mudah dapat tempat di kelab besar Thailand

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah mengakui bukan mudah untuk pemain Malaysia mendapat tempat bermain dengan kelab besar Liga 1 Thailand.

Ini kerana beberapa faktor menjadi kekangan termasuk kriteria tinggi pemain yang ditetapkan oleh kelab negara jiran itu.

"Jika mahu bermain di Thailand, saya nasihatkan pemain agar menyertai kelab besar di sana. Kelab besar di sana seperti Muangthong United, Bangkok Glass, Bangkok United, Chonburi dan Buriram boleh memberikan pengalaman baik buat pemain kita.

"Kelab besar ini mampu membayar gaji lebih tinggi kepada pemain berbanding kelab lain. Saya percaya tiada pemain tempatan yang mahu berpindah ke Thailand untuk mendapat gaji lebih rendah atau sama dengan apa yang mereka terima sekarang.

"Namun, bukan mudah untuk pemain kita mendapat tawaran bermain di Thailand kerana kelab besar di sana meletakkan kriteria tinggi dalam pemilihan pemain import.

"Apapun jika ada tawaran sudah pasti saya menggalakkan mana-mana pemain rebut peluang ini kerana Liga Thailand tidaklah terlalu hebat tapi lebih baik berbanding Liga Malaysia," katanya kepada Arena Metro hari ini.

Media sebelum ini melaporkan enam pemain skuad bawah 22 tahun (B-22) negara kini diintai kelab utama Thailand yang berpangkalan di Bangkok dan Chonburi.

Pemain berkenaan adalah pertahanan Adam Nor Azlin (Selangor) dan Adib Zainudin (FELCRA FC); pemain tengah, Syamer Kutty Abba ( Pulau Pinang), Nor Azam Azih (Pahang) dan penyerang, Jafri Firdaus Chew (Pulau Pinang) dan N Thanabalan (FELCRA FC).

Effendi yang bertindak sebagai ejen Thanabalan menyatakan bahawa sudah menjadi kebiasaan spekulasi pemain tempatan dikaitkan dengan kelab luar berlaku selepas Sukan SEA atau Piala AFF.

"Setakat ini saya belum dihubungi oleh mana-mana kelab Thailand yang berminat dengan Thanabalan. Apa yang pasti sekarang, Thanabalan masih mempunyai kontrak setahun lagi sebagai pemain Negeri Sembilan yang dipinjamkan ke FELCRA FC," katanya.

3792 dibaca
Berita Harian X