Sabtu, 9 September 2017 | 7:29pm
PEMAIN Malaysia, N.Thanabalan tidak bimbang dengan persepsi buruk segelintir pihak yang menganggap pemain tempatan hanya membuang masa duduk di bangku simpanan jika berhijrah ke luar negara. - Foto Luqman Hakim Zubir

'Saya pergi jika ada tawaran'

KUALA LUMPUR: "Dulu saya tak ada impian untuk bermain bola sepak di luar negara, tapi sekarang jika ada peluang, memang saya nak pergi," kata penyerang muda sensasi negara ketika ini N Thanabalan.

Menurut pemain 22 tahun itu, dia tidak bimbang dengan persepsi buruk segelintir pihak yang menganggap pemain tempatan hanya membuang masa duduk di bangku simpanan jika berhijrah ke luar negara.

"Kenapa perlu takut, saya yakin jika kita tunjukkan kesungguhan, bermain dengan baik, tiada alasan untuk kita tidak mendapat peluang dalam skuad utama.

"Memang tiada jaminan untuk kita berada dalam skuad utama termasuk dengan pasukan Liga Malaysia sekali pun. Pada saya, apa yang penting adalah usaha dan keinginan untuk terus maju," katanya.


PEMAIN Malaysia, N Thanabalan (tengah) meraikan jaringannya ketika menentang Myanmar dalam aksi Sukan SEA KL2017 di Stadium Shah Alam. - Foto Hairul Anuar Rahim

Laporan sebelum ini menyebut enam pemain muda negara iaitu pertahanan Adam Nor Azlin (Selangor) dan Adib Zainudin (FELCRA FC), pemain tengah Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang), Nor Azam Azih (Pahang) dan penyerang Jafri Firdaus Chew (Pulau Pinang) serta Thanabalan (FELCRA FC) kini diintai kelab dari Liga 1 Thailand selepas aksi memberangsangkan ketika membantu skuad Bawah 22 (B-22) meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, bulan lalu.

Thanabalan yang meledak empat gol sepanjang kempen temasya sukan dwitahunan itu mengesahkan tidak menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan tempatan mahupun luar negara setakat ini.

Pemain kelahiran Seremban itu masih mempunyai baki kontrak setahun dengan Negeri Sembilan dan kini beraksi sebagai pemain pinjaman bersama kelab Liga FAM, FELCRA FC.

"Kalau ada tawaran ke Thailand, saya nak pergi tapi kena ada perbincangan terlebih dulu dengan pihak pengurusan serta keluarga saya. Bukan senang nak dapat peluang ke sana," kata Thanabalan.

21346 dibaca
Berita Harian X