Sabtu, 9 September 2017 | 6:48pm
NOR Azam Azih kini bersama pasukan Pahang menjadi antara watak penting kejayaan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee meraih pingat perak Sukan SEA KL2017. - Foto Mohd Rafi Mamat.

Mahu ikut jejak Messi Jay

KUALA LUMPUR: Pemain tengah, Nor Azam Azih percaya Liga 1 Thailand boleh menjadi platform terbaik buat pemain muda negara mengorak langkah lebih tinggi seperti bintang negara jiran itu Chanathip Songkrasin.

Chanathip, 23, yang turut dikenali sebagai 'Messi Jay' kerana kelincahannya kini mencipta nama bersama kelab Liga 1 Jepun Consadole Sapporo selepas dipinjamkan oleh Muangthong United pada Julai lalu.

Menurut Azam, 22, kualiti liga utama Thailand itu boleh meningkatkan lagi tahap permainan pemain tempatan, sekali gus menarik perhatian pencari bakat dari kelab luar khususnya Liga Jepun yang mahu mendapatkan khidmat pemain dari rantau Asia Tenggara.


PEMAIN Thailand, Chanathip (depan) diasak pemain Australia, Mark Milligan pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2018. - Foto EPA

"Saya fikir Liga Thailand adalah yang terbaik di Asia Tenggara. Mana-mana pemain yang dapat peluang bermain di sana memang bagus. Bila keluar berita mengenai kelab Thailand berminat dengan pemain Malaysia, saya mendapat banyak reaksi positif daripada pelbagai pihak, terutama penyokong yang mahu saya ke sana.

"Bermain di Thailand, selain dapat pengalaman, peluang kita untuk pergi ke kelab lebih besar juga cerah. Kita boleh lihat peluang Chanatip di Jepun, mungkin selepas ini ada pemain kita pergi ke sana pula," katanya.

Sebelum ini, dua pemain negara Wan Zack Haikal dan Nazirul Naim Che Hashim pernah beraksi dengan kelab divisyen tiga Liga Jepun, FC Ryukyu pada 2013 selepas bakat mereka dikesan ketika mewakili skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara dalam kelayakan Olimpik 2012 menentang Jepun.

Laporan semalam menyebut enam pemain skuad B-22 negara yang menyerlah di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan lalu, menarik minat beberapa kelab utama Thailand yang berpangkalan di Bangkok dan Chonburi.

Pemain berkenaan adalah pertahanan Adam Nor Azlin (Selangor) dan Adib Zainudin (FELCRA FC), pemain tengah Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang), Azam (Pahang) dan penyerang Jafri Firdaus Chew (Pulau Pinang) serta N Thanabalan (FELCRA FC).

Azam yang menjadi antara watak penting kejayaan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee meraih pingat perak Sukan SEA mengakui belum menerima sebarang tawaran kelab luar setakat ini, namun tidak menolak untuk mempertimbangkannya.

"Saya masih ada baki kontrak tiga tahun dengan Pahang, setakat ini tiada tawaran daripada pasukan lain dari luar negara. Fokus saya untuk membantu Pahang dan jika ada peluang baik ke luar negara, mungkin boleh dibincangkan," katanya.


PEMAIN negara, Nor Azam Azih (kanan) ketika beraksi menentang Thailand pada final bola sepak Sukan SEA KL2017 di Stadium Shah Alam. - Foto Hairul Anuar Rahim

4893 dibaca
Berita Harian X