Ahad, 20 Ogos 2017 | 8:22am
PEMAIN Liverpool, Joel Matip (kanan) mengasak Christian Benteke pada aksi menentang Crystal Palace di Anfield, malam tadi. Liverpool menang 1-0. - Foto REUTERS

Kemenangan kendur tekanan di Anfield

LIVERPOOL: Jurgen Klopp memuji semangat juang Liverpool ketika skuad bimbingannya melakar kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace di Anfield menerusi penyudah menarik Sadio Mane.

Kekecewaan peminat Liverpool tampak meningkat selepas barisan skuad The Reds bergelut untuk mengatasi corak pertahanan kental Palace.

Begitupun, Mane yang juga pemain sayap Senegal muncul penyelamat apabila memanfaatkan kesilapan pertahanan Palace, Luka Milivojevic sekali gus menyaksikan Wayne Hennessey tertewas ketika permainan berbaki 17 minit.

Gol itu mengendurkan tekanan di Anfield ketika Liverpool mengesahkan kemenangan pertama musim ini susulan keputusan seri 3-3 di Watford pada aksi pembukaan.

"Ia hasil kerja keras. Saya tidak mempunyai idea betapa banyak penguasaan bola yang kami peroleh namun ia banyak," kata Klopp.

"Kami mempunyai peluang terbaik pada babak pertama namun perlu lebih berhati-hati kerana mereka bertahan dengan baik. Kami tidak menjaringkan gol namun kami juga tidak membenarkan mereka melakukan serangan balas.

"Kami bertahan dengan bijak dan kami sentiasa memegang bola, saya rasakan seperti 85 peratus penguasaan bola. Kami perlu melakukan keputusan yang betul dan pada babak pertama kami tidak melakukannya.

"Kami boleh menjaringkan lebih banyak gol namun kami tidak menggunakan peluang kami. Babak kedua lebih baik dan saya suka dengan gol yang kami jaringkan kerana ia bukan permainan terbaik kami.

"Ia adalah gol yang menarik dan kami layak untuk menang."

Perlawanan di Anfield begitupun didominasi dengan spekulasi perancang tengah Brazil, Philippe Coutinho yang mahu berpindah ke Barcelona.

Gergasi La Liga itu menawarkan 114 juta pound (RM629.59 juta) bagi mendapatkan Coutinho, semalam namun sekali lagi ditolak The Reds dengan sumber mengatakan Klopp tidak akan mengalah sekali pun pemain berkenaan sudah menyerahkan surat permohonan untuk berpindah. - AFP

987 dibaca
Berita Harian X