Jumaat, 18 Ogos 2017 | 10:30am
ANDREW Robertson. - Foto AGENSI

Robertson sudah sedia, Sturridge kembali perkuat Liverpool

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Jurgen Kloop berkata, Andrew Robertson sudah sedia buat penampilan sulung bersama The Reds pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Crystal Palace, tatkala teka-teki mengenai pemindahan Philippe Coutinho masih lagi belum terjawab.

Robertson tiba dari Hull City pada Julai lalu, namun bek kiri Scotland itu masih belum berpeluang beraksi dalam perlawanan kompetitif sejak pemindahannya yang bernilai STG10 juta (RM55 juta).

Pertahanan Sepanyol, Alberto Moreno sering menjadi pilihan utama buat Klopp di posisi bek kiri tetapi pengendali dari Jerman itu jelas kagum dengan persembahan Robertson sejak mula menyertai kelab.

"Semuanya OK mengenainya. Dia sedang menikmati keseronokan dan mempamerkan peningkatan yang sangat bagus, dia dapat menyesuaikan diri dengan baik sekali," kata Klopp.

"Dia seorang pemain yang sangat bagus tetapi ia mempunyai kaitan rapat mengenai kepakaran di bek kiri, ia sukar. Kamu bermain ataupun ia akan menjadi sukar untuk berada dalam skuad.

"Dia berada di landasan tepat dan semuanya OK daripada sudut saya. Ia masih terlalu awal, dia tiba lewat dan dia harus menyesuaikan diri dengan corak permainan kami.

"Syaratnya mudah, sekiranya kamu berlatih dengan baik, sekiranya kamu berusaha gigih, sekiranya kamu meningkat, sekiranya membangun maka semuanya akan menjadi positif pada akhirnya."

Klopp berkata, dia jelas tidak sabar untuk menyertai perlawanan pertama musim Liverpool di laman sendiri meskipun perlu berdepan Palace, sebuah pasukan yang sentiasa menjadi lawan yang sukar buat The Reds.

"Saya tidak sabar untuk perlawanan di Anfield," kata Klopp.

"Sudah lama kami tidak beraksi di sana dan itu adalah laman kami, di mana kami mahu berada dan bermain, terutamanya selepas dua perlawanan pertama ini. Kami sudah menunjukkan yang kami kembali bersedia."

Liverpool menerima tonik berharga dengan kemunculan penyerang England, Daniel Sturridge yang kembali pulih daripada kecederaan paha dialaminya pada pra musim lalu.

Namun, Klopp masih tidak boleh menyenaraikan penyerang Brazil, Coutinho yang mengalami kecederaan belakang pada minggu terakhir yang menyaksikan Liverpool terus mempertahankan bintangnya itu daripada disambar Barcelona.

"Phil tidak boleh beraksi. Dia tidak berlatih setakat ini, jadi tidak ada perkara baharu. Ia mempunyai kaitan dengan kecederaan pemain, tidak ada tempoh masa mengenai bilakah dia akan kembali," kata Klopp. - AFP

1561 dibaca
Berita Harian X