Ahad, 13 Ogos 2017 | 5:06pm
JURULATIH pasukan futsal lelaki Malaysia, Chiew Chun Yong (kiri) bersama sebahagian pemain futsal negara bagi mengharungi Sukan Sea K2017. - Foto Luqman Hakim Zubir

Chung Yong senarai 16 pemain terbaik

KUALA LUMPUR: Sekalipun kehilangan seorang tonggak yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan, pengendali skuad futsal lelaki negara, Chiew Chun Yong yakin memiliki 16 pemain terbaik bagi mengharungi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Jelas bekas pemain kebangsaan itu, kehilangan Saiful Nizam Mohamad Ali sedikit sebanyak menjejaskan perancangannya, namun dia tetap gembira selepas khidmat Akmarulnizam Mohd Idris dapat digunakan pada temasya kali ini.

"Saya akui Saiful memainkan watak penting buat skuad futsal negara, namun futsal adalah permainan berpasukan dan saya sudah ada pengganti untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Saiful.

"Setidak-tidaknya saya lega apabila Akmarulnizam pulih sepenuhnya dan khidmatnya dapat digunakan.

"Apapun, saya menaruh sepenuh kepercayaan terhadap barisan pemain yang sudah dipilih dan kami sudah bersedia untuk memberi cabaran pada temasya kali ini," katanya ketika dihubungi BH Sukan, hari ini.

Saiful Nizam yang cedera dan diketepikan daripada jelajah Bangkok sebelum ini digantikan dengan rakan sepasukannya di Melaka iaitu Mohd Firdaus Ambiah.

Dalam masa sama, Chun Yong menyifatkan dua aksi persahabatan bertemu Mongolia yang menjadi medan pemanas badan terakhir sebagai peluang keemasan untuk meneliti setiap kelemahan pasukannya sebelum menghadapi KL2017.

"Apa yang saya mahu lihat daripada dua aksi persahabatan ini adalah dari segi taktikal terutama membabitkan ketika kami melakukan serangan selain aspek teknikal yang turut dititikberatkan.

"Kita juga menguji beberapa strategi yang dirasakan terbaik untuk diterapkan ketika perlawanan sebenar. Segala-galanya mengikut perancangan dan saya mengharapkan pemain dapat membawa momentum ini ketika beraksi nanti," katanya.

Aksi persahabatan pertama yang berlangsung kelmarin menyaksikan anak buah Chun Yong meraih kemenangan 3-1 hasil jaringan Azri Rahman, Ridzwan Bakri dan Khairul Effendy Bahrin.

380 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »