Jumaat, 11 Ogos 2017 | 11:54am

Rekod perpindahan RM5.57 bilion hangatkan EPL musim baharu

LONDON: Disemarakkan dengan perbelanjaan besar, Liga Perdana Inggeris (EPL) akan kembali awal pagi esok waktu Malaysia apabila Arsenal menanti kunjungan Leicester City dalam perlawanan pembukaan paling dinantikan pada musim baharu.

Mengambil kesempatan kontrak penyiaran dan perjanjian penajaan mewah, pasukan utama England membelanjakan wang tanpa had.

Sejak tamat musim lalu, rekod perpindahan berlaku di seluruh negara dengan 1 bilion pound (RM5.57 bilion) bertukar tangan dan kegilaan yang mencipta rekod baharu tertinggi dalam satu perpindahan.

Ketika sebahagian bimbang perbelanjaan ini tidak berkekalan dan akan meletakkan kestabilan kelab pada tahap berisiko untuk jangka masa panjang, edisi ke-25 EPL sepatutnya akan memberikan pemburuan juara lebih sengit berbanding sebelumnya.

Terdesak untuk mengatasi juara, Chelsea, rekod yuran kelab yang dibayar oleh Manchester United mengatasi rekod British 75 juta pound (RM417.83 juta) buat penyerang Everton, Romelu Lukaku manakala Arsenal mengeluarkan 52 juta pound (RM289.70 juta) buat penyerang Lyon, Alexandre Lacazette dan Liverpool meletakkan 37 juta pound (RM206.13 juta) buat pemain sayap Roma, Mohamed Salah.

Bos Manchester City, Pep Guardiola memulakan rentak dengan beberapa siri perjanjian awal yang membawa perbelanjaannya kali ini kepada 218 juta pound (RM1.214 bilion).

Kecewa dengan kegagalan City dalam musim pertama tanpa trofi di England, Guardiola mengubah skuad dengan kehadiran pertahanan Kyle Walker, Benjamin Mendy dan Danilo, serta penjaga gol Ederson serta perancang Bernardo Silva.

Musuh lama Guardiola, Jose Mourinho tidak malu melakukan perkara sama buat United, dengan perjanjian Lukaku menjadi tajuk utama perbelanjaan 140 juta pound (RM779.95 juta) yang juga membawa masuk pertahanan Benfica, Victor Lindelof dan pemain tengah Chelsea, Nemanja Matic ke Old Trafford.

Mourinho menjuarai liga pada musim keduanya di Porto, Real Madrid dan Inter Milan, selain kedua-dua tempoh bersama Chelsea, namun dia menjangkakan pemburuan gelaran musim ini sangat sukar.

"Secara normal musim kedua akan lebih baik berbanding sebelumnya, tetapi sekali lagi, ia adalah bola sepak moden. Realitinya ia amat berbeza," kata Mourinho.

"Ia semakin sukar untuk sesiapa saja, jadi kami tidak tahu." - AFP

4394 dibaca
Berita Harian X