Sabtu, 5 Ogos 2017 | 8:20pm
PEMAIN Pahang, Kiko Insa (kanan) bersama pemain import, Yamil Romero ketika sesi latihan dengan skuad Tok Gajah. - Foto Nazirul Roselan

Kiko tak tertekan bersama Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Pemain kacukan kelahiran Sepanyol, Kiko Insa menegaskan tidak tertekan menyahut cabaran bersama skuad Harimau Malaya buat kali pertama meskipun pemilihannya menjadi pertikaian selepas abangnya, Natxo tiada dalam senarai 24 pemain yang dipanggil bagi kem latihan pusat 14 Ogos ini.

Keputusan pengendali kebangsaan, Nelo Vingada menyenaraikan pemain itu kelmarin dianggap sesuatu yang mengejutkan berikutan pemain berusia 29 tahun itu kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad Tok Gajah musim ini.

Malah corak permainan keras Kiko yang berasal dari Alicante namun mendapat taraf kerakyatan Malaysia kerana neneknya berasal dari Kuala Lumpur itu, turut kurang disenangi peminat tempatan yang pasti mengingati insiden layangan kad merah pada final Piala FA Mei lalu.

Berbeza dengan Natxo yang pantas mencuri tumpuan dengan aksinya bersama Johor Darul Ta'zim (Johor DT) selepas berpindah dari kelab Sepanyol, Levante Jun lalu.

Tapi Kiko menyatakan dia tidak bimbang dibayangi kehebatan abangnya dan peluang untuk menyarung jersi Malaysia tidak akan dilepaskan.

''Saya gembira kerana nama saya disenaraikan kerana bulan lalu saya tidak banyak bermain. Pada saya untuk mewakili skuad kebangsaan adalah impian setiap pemain. Saya tidak tertekan, kerana kami pemain yang berbeza.

"Natxo pemain tengah manakala saya pula pemain pertahanan. Masalah di Malaysia apabila ramai orang fikir saya pemain tengah sedangkan saya bukan pemain tengah.

''Sepanjang karier saya sebelum ini saya bermain di posisi pertahanan tengah tapi di Malaysia saya tidak bermain di posisi pertahanan tengah. Bagi saya Natxo adalah pemain terbaik dalam liga.

"Jadi tidak ada apa yang perlu saya bandingkan, Natxo adalah Natxo dan Kiko adalah Kiko, permainan kami berdua memang berbeza,'' katanya.

Dalam laporan Arena Metro semalam, Vingada percaya Kiko mampu memberi sumbangan kepada pasukan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai ketiadaan Natxo dalam pasukan.

Skuad Harimau Malaya berkumpul bagi persiapan menghadapi tiga perlawanan persahabatan menentang Syria (22 Ogos), Macau (25 Ogos) dan Myanmar (29 Ogos) sebelum berdepan Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Melaka pada 5 September.

''Mungkin sekarang bukan masa yang terbaik untuk saya bersama skuad kebangsaan kerana saya tidak begitu cergas tapi kita ada masa tiga minggu untuk kembali cergas sebelum perlawanan dengan Hong Kong, saya akan lakukan yang terbaik untuk membantu pasukan,'' kata Kiko.

6542 dibaca
Berita Harian X