Khamis, 27 Julai 2017 | 10:50am
KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada.- Foto Owee Ah Chun

Vingada senarai 24 pemain ke Melaka

JOHOR BAHRU: Latihan pusat skuad Harimau Malaya bakal menyaksikan 24 pemain akan dipanggil untuk kem di Melaka bermula 14 Ogos ini bagi persiapan menghadapi aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong, 5 September ini.

Pengendali Harimau Malaya, Nelo Vingada turut mengesahkan tiga aksi persahabatan antarabangsa berkelas A akan diadakan dengan aksi pertama menentang Syria disusuli dengan menentang Macau dan kemudian berdepan Myanmar.

Katanya, aksi pertama menentang Syria akan diadakan di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 22 Ogos dan kemudian akan menentang skuad kebangsaan Macau pada 25 Ogos dan aksi terakhir persahabatan menentang Myanmar pada 29 Ogos.

"Saya akan mengadakan latihan pusat bermula 14 Ogos ini dan satu perlawanan persahabatan di Melaka manakala dua lagi aksi persahabatan kami akan ke Macau dan Myanmar.

"Buat ketika ini, saya tidak akan memanggil beberapa pemain Bawah 23 tahun kerana mereka terbabit dengan temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur dan biar mereka beraksi dalam temasya itu," katanya.

Ditanya mengenai status pemain kacukan Natxo Insa yang kini beraksi bersama JDT sama ada akan dipanggil untuk menyertai latihan skuad Harimau Malaya, pengendali dari Portugal menegaskan ada beberapa dokumentasi yang perlu dilengkapkan sebelum memanggil pemain tengah skuad Harimau Selatan itu.

Beliau tidak menafikan betapa, corak permainan Insa menepati ciri pemain yang dicari untuk mengemudi barisan tengah namun perlu mengikut peraturan Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola sepak Asia (AFC).

"Buat ketika ini, saya belum membuat keputusan untuk memanggil Insa untuk menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya, ...biarlah urusan dokumentasi pemain itu diselesaikan dulu," kata Vingada.

8992 dibaca
Berita Harian X