Jumaat, 12 Oktober 2018 | 6:10pm
MASJID Putra, Putrajaya antara lokasi tumpuan pelancong asing kerana ianya mempunyai senibina yang unik dan menarik berdasarkan seni bina Parsi zaman Kerajaan Safawe. - Foto hiasan

Malaysia tumpuan pelancongan Islam global

MALAYSIA kekal di tangga pertama sebagai destinasi pelancongan Islam paling popular dalam pasaran pelancongan muslim global.

Ia kejayaan tahun kelapan berturut-turut buat Malaysia, menurut hasil kaji selidik Indeks Pelancongan Muslim Global 2018 oleh Mastercard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2018.

Kaji selidik itu dijalankan terhadap 130 destinasi dengan mengambil kira aspek dan kriteria yang merangkumi infrastruktur, komunikasi dan cara sesebuah destinasi memasarkan kedudukannya kepada khalayak sasaran seperti keadaan alam sekitar dan perkhidmatan.

Mesra Islam

Menurut kaji selidik berkenaan, Malaysia mendapat jumlah skor sebanyak 380.4, berbanding Indonesia di tangga kedua dengan skor 367.4, manakala Arab Saudi di tangga ketiga dengan skor 367.1.

Jumlah skor ini berdasarkan kriteria dalam kemudahan perkhidmatan mesra Islam yang mudah untuk didapati yang merangkumi restoran yang diiktiraf halal, kawasan dan ruang solat, serta lapangan terbang dan hotel yang mesra Islam.

Dalam usaha untuk membangunkan lagi produk dan perkhidmatan pelancongan Islam di Malaysia, kerajaan Malaysia telah menubuhkan Pusat Pelancongan Islam Malaysia pada 2009 dan ia membantu dalam menyumbang kepada Kejayaan Malaysia dalam mengekalkan kedudukan sebagai destinasi nombor satu pelancongan Islam global.

Malaysia begitu prihatin dalam menghasilkan produk pelancongan Islam negara yang baik dengan menerapkan nilai-nilai Islam dalam pengurusan pentadbiran negara, memacu pertumbuhan hab dan produk halal, serta pembinaan infrastruktur dan mercu tanda berkonsepkan seni bina Islam.

Usaha Banda Aceh menjadikan destinasi mereka ke arah destinasi pelancongan Islam selepas tsunami dan Jepun salah negara yang terkenal dengan negara mesra Islam juga sangat sesuai untuk dijadikan contoh oleh destinasi pelancongan yang lain.

Destinasi idaman

Untuk menjadikan sesebuah destinasi menjadi sebuah destinasi idaman dan tumpuan pelancong Islam, pihak berwajib sesebuah destinasi pelancongan hendaklah memahami keperluan dan kehendak pelancong Islam dan menyesuaikannya dengan keadaan dan kesesuaian destinasi, dalam masa yang sama meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk memenuhi keperluan itu.

Dalam konteks pelancongan Islam, antara aspek yang paling utama untuk dititik-beratkan ketika melancong ialah makanan halal, penginapan mesra Islam dan aktiviti yang tidak melanggar hukum syarak.

Keperluan utama bagi pelancong Islam ialah makanan yang halal. Usaha untuk mendapatkan makanan yang halal salah satu perkara wajib yang dituntut dalam Islam dan perlu dilakukan oleh setiap Muslim tidak kira di mana jua mereka berada.

Islam menggesa umatnya untuk mendapatkan makanan halal dan baik selari dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal dan baik, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu”. (al-Baqarah, ayat 168).

Tanda arah kiblat

Gesaan mengenai makanan halal ini juga ada disebut di dalam surah al-Maidah, ayat 88 yang bermaksud: “Dan makanlah dari apa yang telah diberikan Allah kepadamu sebagai rezeki yang halal dan baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepadaNya”.

Penginapan yang mesra Islam bukanlah bermaksud wajib ada musala atau masjid di dalam kawasan penginapan, ia memadai dengan adanya tanda arah kiblat dan paip air untuk berwuduk dan beristinjak.

Kolam renang pula hendaklah berasingan di antara lelaki dan wanita manakala bilik persalinan tertutup. Tempat penginapan juga tidak boleh menjalankan aktiviti yang melanggar hukum syarak seperti menganjurkan perjudian dan jualan arak dalam memenuhi keperluan Islam.

Berkembangnya pelancongan Islam bukan saja dapat menggalakkan umat Islam untuk bermusafir dan melihat kebesaran Pencipta, secara tidak langsung dapat menyerbarkan kecantikan dan keindahan agama Islam secara global.

Izzah Syakirah Maaruf

Mahasiswa Sarjana Bahasa Arab Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia

95 dibaca
Berita Harian X