Selasa, 9 Oktober 2018 | 11:01am
PENGECUALIAN tugas perkeranian membolehkan guru menumpu kepada proses pengajaran dan pembelajaran.

Menunggu janji guru dikecuali 'jadi' kerani

BARU-BARU ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dilaporkan memberi jaminan pendidik di seluruh negara bakal dikecualikan daripada beban tugas perkeranian selewat-lewatnya pada Januari depan.

Inisiatif itu antara usaha pihaknya bagi memperkasa profesyen guru supaya lebih fokus kepada pengajaran di kelas bagi mendidik dan melahirkan generasi pelajar cemerlang.

Sebenarnya, jaminan pendidik di seluruh negara akan dikecualikan daripada beban tugas perkeranian memang sudah lama diperkatakan.

Walaupun menteri dan ketua pengarah silih berganti, tugas pentadbiran am, pengurusan personal, perkhidmatan kaunter dan pemprosesan, pengumpulan data dan maklumat, pengendalian peralatan, perhubungan/komunikasi, pengurusan personel, pengurusetiaan, pengurusan rekod, pengurusan kewangan dan pengurusan fail masih terbeban kepada guru.

Paling kerap kumpulan pendidik terpaksa hadapi adalah menaip dan menyediakan dokumen rasmi yang diarah dalam masa ditetapkan seperti program piawaian penarafan antarabangsa (ISO), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA).

Yang menjadi kebanggaan bagi sesetengah pegawai perkhidmatan pendidikan yang mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan bergred DG52 atau DG54 adalah menjadi ‘pencatat minit mesyuarat’.

Mereka yang juga bersedia dan tidak sanggup mengingkari arahan pengarah, ketua jabatan biasanya akan diberi ‘Anugerah Perkhidmatan Cemerlang’ walaupun menganggotai Jawatankuasa Buku Laporan Tahunan yang hanya menyediakan dan menukarkan jadual takwim persekolahan, manakala perkara lain hanya diperkemaskan.

Pada pandangan saya, pegawai di Kementerian Pendidikan sendiri kini terbabit dengan tugas perkeranian yang lebih berbentuk ‘pentadbiran’. Jadi rasanya, tugas guru dan pendidik sendiri memang hadir dalam perkeranian dan pentadbiran, eloknya ‘mentadbir’lah dengan baik.

Pendidik tanpa ‘pena atau pensel’ dan kertas umpama seumpama mereka yang tidak tahu menggunakan peralatan perkomputeran atau teknologi maklumat dan ini akan menggagalkan hasrat program Pendidikan Abad Ke-21.

Kemudahan tak cukup

Cuma kemudahan yang sedia ada tidak mencukupi atau tidak memenuhi kehendak yang diperlukan dalam pengajaran dan pembelajaran serta pemudahcaraan.

Memang terdapat ‘pembantu guru’ di sekolah, tetapi jika hanya seorang atau dua di setiap sekolah dan hanya ditempatkan untuk program sekolah tertentu, ia tidak memberi harapan yang memuaskan dan diharapkan. Nisbah sedia ada memang tidak membantu dalam urusan perkeranian.

Memang terdapat ‘pembantu pensyarah atau guru’, tetapi hanya untuk mereka yang tertentu. Ada juga di institusi tertentu, terdapat pendidik yang ditugaskan sebagai ‘pegawai pengurusan’, maka elok mereka saja diberikan tanggungjawab dan membantu dalam tugasan serta isu yang diperkatakan kerana mereka memohon jawatan terbabit.

Mungkin dengan menambah jawatan perkeranian dapat membantu institusi walaupun kerajaan terpaksa menyediakan kos tambahan untuk tujuan murni ini. Penambahbaikan atau pembetulan semula dalam menyenaraikan tugas dan tanggungjawab jawatan adalah penting dan perlu bagi mencerahkan kekusutan yang sedang berlaku.

Dalam bidang pendidikan, pendidik memang terpaksa bersama ‘pen dan kertas’, pendidik juga berhubung dan berurusan terus dengan ‘pelanggan’ yang dimaksudkan. Pen dan kertas akan dijadikan bukti untuk ‘pentaksiran’.

Tekanan berlaku dan dirasakan jika pihak pengurusan dan pentadbiran sering menukar ‘perancangan’ yang telah dipersetujui bersama. Kekalutan berlaku terutama jika ‘pihak berkepentingan’ tidak tegas dengan keputusan yang ditetapkan.

Hak ‘autonomi’ pendidik juga harus diberi perhatian, pengurusan masa bagi pendidik harus dihormati, berlaku adil dan saksama tanpa ‘kronisme’ memang dituntut.

Hormatilah mereka (pendidik) yang sedang berusaha bersama untuk kejayaan institusi dan organisasi. Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan jika pihak pengurusan dan pentadbiran sendiri bersikap ‘Bersih, Cekap dan Amanah’.

Kheru Khek

Segambut Luar, Kuala Lumpur

230 dibaca
Berita Harian X