Rabu, 16 Mei 2018 | 7:09am
Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kerajaan baharu di Malaysia.

Institusi Diraja lancarkan amalan demokrasi negara

Bersyukurlah kita terhadap Yang Maha Kuasa di atas kelancaran proses Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Segala-galanya berjalan dengan lancar walaupun berlaku peralihan kuasa pada peringkat Persekutuan dan beberapa negeri.

Menjunjung kasih juga kepada institusi raja di Malaysia yang berjaya memainkan peranan yang cukup cemerlang dalam memastikan amalan demokrasi berparlimen di negara ini sentiasa subur.

Jutaan tahniah turut diucapkan kepada institusi Yang di-Pertuan Agong dalam memastikan peralihan kuasa pada peringkat persekutuan, pertama kali sejak pilihan raya umum 1955, mengikut peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Peralihan aman

Rakyat juga sudah tentu berasa lega kerana proses peralihan kuasa disempurnakan dalam suasana aman tanpa membabitkan unsur yang tidak diingini.

Begitu juga ucapan tahniah kepada semua Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Negeri yang telah memastikan proses pembentukan kerajaan pada peringkat negeri dilangsungkan mengikut Undang-undang Tubuh Negeri masing-masing.

Proses demokrasi di Malaysia semakin matang, situasi sebegini juga menjadi bukti kepada rakyat bahawa institusi raja yang juga antara asas penting pembentukan Persekutuan Malaysia, masih relevan dan diperlukan.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab seluruh rakyat untuk terus mendokong kewujudan institusi raja di negara kita.

Daulat Tuanku!

Muhammad Azril Arymi
Keramat Wangsa, Kuala Lumpur

2335 dibaca
Berita Harian X