Selasa, 8 Mei 2018 | 6:02am
Ketua Pakatan Harapan, Wan Azizah, isteri bekas pemimpin pembangkang dan ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, berkempen menjelang PRU-14 di Kuala Lumpur. - Foto AFP

Perjuangan PKR tersasar dari landasan

Saya seorang pensyarah berasal dari Pantai Timur dan seorang penyokong tegar Parti Keadilan Rakyat (PKR). Saya menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dia dipecat dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Banyak isu yang diperjuangkan PKR membuatkan saya geram dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang saya lihat sebagai sebuah parti yang dipenuhi dengan isu rasuah, penyelewengan wang kerajaan dan sebagainya. Bagi saya BN sudah terlalu lama dan tidak lagi relevan.

Namun, sejak kebelakangan ini, saya melihat perjuangan PKR dan sekarang pakatan pembangkang, sudah jauh terkeluar dari landasan. Saya melihat sahabat baik PKR, iaitu DAP sering mengeluarkan kenyataan memburuk-burukkan imej Datuk Seri Najib Razak, kepemimpinan BN, dan UMNO secara keseluruhannya.

Perkara ini mereka susun secara terancang dengan setiap hari mereka menanam politik kebencian sebagai pendekatan dan modus operandi, agar rakyat terus membenci kerajaan BN.

Apa yang memeranjatkan saya, hal ini diakui sendiri oleh seorang anggota jentera DAP yang mengatakan, parti itu sengaja mereka-reka berita palsu dan menabur fitnah untuk memastikan matlamat parti itu mengambil alih pentadbiran di negara ini sepenuhnya.

DAP dalang

Saya percaya DAP akan mengetepikan kepentingan orang Melayu dan agama Islam apabila mereka berkuasa penuh nanti.

Mereka akan melaksanakan agenda Evangelist Christian dan mengutamakan kepentingan kaum Cina di negara ini. Hasrat mereka untuk mengurangkan jumlah penjawat awam dan peranan Jabatan Perdana Menteri bermakna ramailah orang Melayu yang akan kehilangan pekerjaan dan akan terhapuslah institusi Melayu seperti Tabung Haji, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Biro Tatanegara (BTN) dan lain-lain. Jika ini berlaku, maka amat malanglah nasib orang Melayu di bawah pakatan pembangkang nanti.

Perkara ini menguatkan lagi persepsi saya bahawa DAP ialah dalang di sebalik semua fitnah yang ditaburkan terhadap pemimpin negara.

Mereka mengatur strategi untuk memecah-belah kesatuan dan keharmonian orang Melayu secara tersusun dan sistematik. Bagi saya amat jelas strategi DAP ialah memperkudakan pemimpin Melayu dalam pakatan pembangkang untuk mencapai cita-cita jahat mereka.

Semoga Malaysia dan BN dalam lindungan Allah. Amin.

Penyokong kecewa,Tanah Merah

48485 dibaca
Berita Harian X