Isnin, 26 March 2018 | 7:44am
GENERASI muda perlu diberi perhatian kerana mereka adalah aset utama negara. - Foto hiasan

Pengundi muda penentu kejayaan BN pada PRU-14

PENGUNDI muda dan pengundi kali pertama yang lebih berpengetahuan mengenai politik pada hari ini, membuat pemerhatian terhadap landskap politik negara berhubung keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sehubungan itu, manifesto Barisan Nasional (BN) yang bakal dibentang pada 7 April ini akan berbentuk sasaran pengundi muda.

Malah, pada pelancaran Persatuan Jentera Belia dan Pemuda BN di Muar, Johor, baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan manifesto BN akan memberi tumpuan kepada generasi muda sebagai aset utama negara.

Jaminan itu jelas menunjukkan strategi BN untuk menghadapi PRU Ke-14 (PRU-14) adalah pendekatan lebih praktikal dan realistik.

Di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, manifesto khas direka untuk belia dan kali pertama diketengahkan oleh BN.

Usaha ini tentu memberi keyakinan kepada anak muda bahawa BN adalah parti pilihan mereka kerana mempunyai rancangan proaktif.

Manifesto Pakatan Harapan (PH) pula tidak realistik mengikut keadaan ekonomi semasa, sebaliknya lebih kepada retorik.

Ia jelas hanya untuk menarik undi menjelang pilihan raya dengan kebanyakan isu dikitar semula dan kalau adapun banyak janji tidak praktikal.

Prihatin masa depan belia

Malah manifesto pakatan pembangkang pada PRU 2008 dan 2013 di Selangor dan Pulau Pinang juga masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

Bagi rakyat Pulau Pinang, manifesto dikemukakan kedua-dua pihak untuk PRU-14 akan memberi landskap jelas untuk mereka membuat perbandingan.

Manifesto BN adalah 'manifesto mesra' yang membuktikan kerajaan di bawah pentadbiran gabungan parti mewakili pelbagai bangsa dan etnik itu sangat prihatin terhadap masa depan generasi akan datang.

Perkasa generasi muda

Ia boleh menjadi penyelesaian kepada dilema dihadapi generasi muda dalam aspek peningkatan kemahiran selaras keperluan industri dan negara, perumahan, kos sara hidup, pendapatan dan keusahawanan.

Semua manifesto dibuat selepas analisis dan setelah beberapa mesyuarat serta perbincangan dengan pelbagai pemegang taruh, termasuk generasi muda untuk menjadikannya lebih mudah didekati dan holistik.

Nyata, BN mempunyai rancangan yang jelas dan teratur untuk masa depan generasi muda jika ia terus diberi mandat oleh rakyat pada PRU-14 ini.

Oleh itu, adalah sangat penting bagi orang ramai untuk menilai dengan teliti manifesto dikemukakan BN dan PH.

Pendekatan BN lebih kepada memperkasa golongan muda yang kreatif, inovatif dan cerdas untuk menyalurkan idea secara positif. Sokongan berterusan kepada kepemimpinan BN adalah penting bagi menjaga keperluan golongan muda.

Puvaniten M Helan Govan
Naib Ketua Pemuda GERAKAN Pulau Pinang

387 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »