Ahad, 1 Julai 2018 | 6:29pm
Oasis al-Ahsa, Arab Saudi dan kota kuno Qalhat, Oman disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). - Foto AFP

UNESCO iktiraf Qalhat, kota lama diperintah wanita

MANAMA: Oasis al-Ahsa, Arab Saudi dan kota kuno Qalhat, Oman disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pihak berkuasa di Riyadh dan Muscat mengangkat pelancongan sebagai agenda ekonomi mereka ketika negara Teluk bersedia mempelbagaikan ekonomi mereka yang selama ini bergantung kepada minyak.

Oasis al-Ahsa yang subur itu dipenuhi dengan tapak arkeologi yang boleh diterokai dan mempunyai kesan kependudukan manusia sejak zaman Neolitik.

Al-Ahsa pernah menjadi pusat komersial untuk wilayah Hajar di Bahrain seperti yang dilaporkan Arab Saudi kepada UNESCO.

"Bukti arkeologi menunjukkan ia terbabit dalam pertukaran barangan dari selatan Arab dan Parsi serta seluruh Semenanjung Arab."

Skop pelancongan Riyadh yang disokong oleh Putera Mahkota Mohammed Salman, tidak mengelak daripada mengangkat warisan pra-Islam di negara beraja Muslim yang konservatif.

Kota Qalhat, Oman juga wujud pada zaman pra-Islam.

Kota pelabuhan Oman di pesisiran Lautan Hindi pernah menjadi hub penting untuk perdagangan barangan dari kuda Arab hingga porselin China, menurut laporan dari Oman.

Qalhat turut menunjukkan kuasa wanita pernah mengawal masyarakat Arab pada masa berkenaan.

"Pada abad ke-13, Gabenor Ayaz membahagikan masanya dengan berada di Hormuz dan Qalhat yang ketika ketiadaannya, ia diperintah oleh isterinya, Maryam.

"Bibi Maryam dikatakan membina Masjid Jumaat Agung dan makam bagi suaminya. Beliau terus memerintah selepas kematian suaminya sehingga sekurang-kurangnya pada 1319," kata laporan itu.

Penobatan Warisan Dunia menjadi pengiktirafan berprestij untuk negara Teluk yang berusaha menjadikannya sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan budaya dan selamat.

Perhimpunan UNESCO di Bahrain bagaimanapun diadakan pada masa yang sensitif ketika badan dunia itu berhempas pulas untuk mendapatkan dana ekoran penarikan diri Washington pada tahun lepas.

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump keluar dari UNESCO dengan menuduh ia meneruskan 'sikap anti-Israel yang berat sebelah' selepas organisasi itu membenarkan Palestin menyertainya.

Duta Israel ke UNESCO berkata, kerajaannya digesa untuk menimbangkan cadangan untuk keluar daripada badan itu dengan alasan ia sudah menghentikan 'resolusi anti-Israel' sejak setahun lalu. - AFP

184 dibaca
Berita Harian X