;
Jumaat, 11 Mei 2018 | 12:35pm
PENYAIR berbahasa Gaelic Ireland, Nuala Ni Dhomhnaill . - Foto AFP

Penyair Ireland julang bahasa ibunda, menang hadiah antarabangsa

WARSAW: Penyair berbahasa Gaelic Ireland, Nuala Ni Dhomhnaill dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Sastera Antarabangsa Zbigniew Herbert 2018 yang dinamakan sempena penyair dan ahli falsafah Poland yang antikomunis di sini.

Ni Dhomhnaill berkata, beliau gembira mendapat hadiah itu kerana menghasilkan karya dalam bahasa minoriti menyebabkan sudah terbiasa untuk terlepas pandang termasuk dalam negaranya sendiri.

"Saya mahu berterima kasih kepada anggota juri bukan hanya untuk diri saya, bahkan mewakili bahasa Ireland," katanya dalam kenyataan di sini.

Ni Dhomhnaill dilahirkan di Lancashire, England pada 1952 tetapi berpindah ke Ireland bersama keluarga dwibahasanya ketika berusia 5 tahun.

Karyanya menampilkan cerita rakyat dan mitologi Celtic, selain isu kontemporari seperti hubungan antara budaya Irish dengan Inggeris serta kewanitaan.

Sejak menerbitkan kumpulan puisi pertamanya dalam bahasa Ireland, An Dealg Droighin pada 1981, beliau meneruskan proses kreatifnya dengan menghasilkan drama kanak-kanak, skrip dan esei.

Karyanya diterjemah ke bahasa Inggeris, Estonia, Perancis, Jerman, Italian, Jepun, Norway dan Poland.

Ni Dhomhnaill mendeklamasikan beberapa puisinya dalam bahasa asal pada majlis penyampaian yang turut menampilkan persembahan lagu rakyat tradisional Irish.

Dicalonkan untuk Hadiah Nobel Kesusasteraan pada 1991, Herbert menjadi lambang unggul perjuangan kemerdekaan Poland berdepan dengan hasrat negara berjiran untuk menindasnya. Beliau meninggal dunia pada 1998. -AFP

262 dibaca
Berita Harian X