Jumaat, 13 April 2018 | 7:33pm
SARA Danius. - Foto EPA-EFE

Skandal seks terus gegarkan Hadiah Nobel Sastera

STOCKHOLM: Akademi Sweden yang bertanggungjawab dalam penganugerahan Hadiah Nobel Kesusasteraan, terperosok dalam krisis selepas ketuanya, Sara Danius bersama-sama dua anggota meletak jawatan.

Tindakan itu diambil ekoran krisis yang semakin meruncing membabitkan individu berprofil tinggi dituduh melakukan serangan seksual.

Danius berkata, perletakan jawatannya sebagai Setiausaha Tetap Akademi Sweden atas kehendak badan berkenaan.

"Saya masih mahu meneruskannya tetapi masih ada perkara lain untuk dilakukan dalam hidup," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tergempar anggota akademi itu di sini.

Turut meletak jawatan ahli akademi ialah pengarang Sweden, Katarina Frostenson.

Peletakan jawatan itu berlaku selepas akhbar Dagens Nyheter menyiarkan kenyataan daripada 18 wanita pada November lalu yang mendakwa mereka menjadi mangsa gangguan dan penderaan fizikal oleh seorang lelaki.

Sejak laporan itu, akademi memutuskan semua hubungan dengan individu berkenaan dan menamatkan geran yang diberikan sebelum ini.

Ia turut mengadakan siasatan dalaman dan mendapatkan perkhidmatan firma guaman.

Akademi yang berada di bawah naungan Raja Norway, secara tradisinya sangat berhati-hati dan kini terlalu terkesan dengan skandal berkenaan.

Ketua Yayasan Nobel, Lars Heikensten, secara terbuka meluahkan kebimbangan terhadap apa yang disifatkan sebagai 'situasi yang serius dan sukar.'

Tiga anggota akademi meletak jawatan pada minggu lalu sebagai protes selepas institusi berkenaan yang meluahkan keyakinan kepada Katarina Frostenson yang akhirnya mengumumkan melepaskan jawatan hari ini.

Menurut Peter Englund, iaitu salah seorang yang mengundur diri, kes itu menimbulkan perpecahan dalam institusi itu.

Beliau percaya Danius yang menggantikannya pada 2015, menjadi sasaran kritikan dalaman secara 'tidak wajar.'

Ahli yang lain, Horace Engdahl, berkata akademi itu mengesahkan wujudnya 'masalah dalam kepimpinan.'

"Gerak isyarat yang radikal diperlukan untuk mencipta suasana bagi permulaan baharu," katnaya kepada stesen televisyen awam Sweden, SVT.

Danius yang juga profesor sastera di Universiti Stockholm menjadi wanita pertama yang memegang jawatan Setiausaha Tetap Akademi Sweden.

Ahli akademik yang dilantik dalam Akademi Sweden menjadi anggota seumur hidup dan tidak boleh, secara prinsipnya, meletak jawatan tetapi mereka boleh membiarkan kerusi kosong.

Dalam 18 ahli veteran akademi, tujuh daripada tidak lagi menjadi anggota aktif, manakala dua wanita, Kerstin Ekman dan Lotta Lotass, sudah meninggalkannya beberapa tahun lalu.

Ia bukan kali pertama Akademi Sweden berdepan dengan gelombang peletakan jawatan.

Pada 1989, tiga anggotanya mengambil keputusan untuk membiarkan kerusi kosong apabila Akademi Sweden menolak untuk mengkritik fatwa terhadap Salman Rushdie ekoran daripada penerbitan novel, The Satanic Verses. Akademi itu akhirnya berbuat demikian selepas 27 tahun.

Pendakwa raya Stockholm mengumumkan sebahagian daripada penyiasatan terhadap suspek penderaan seksual - membabitkan tuduhan rogol dan serangan antara 2013 dengan 2015 - digugurkan ekoran kekurangan bukti. - AFP

1549 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »