Isnin, 12 March 2018 | 5:30pm
FORUM Prospek Pengulas Buku Profesional oleh Editor Berita Harian, Nazmi Yaakub, Editor MukaSurat.my, Shamsul Amin dan Ketua Penerbit USIM, Hariza Mohd Yusof anjuran Kota Buku. - Foto Supian Ahmad

Penerbit perlu peruntukkan bajet ulasan buku, promosi

KUALA LUMPUR: Selain manuskrip yang baik dan sampul memikat, satu hal yang selalu diketepikan oleh penerbit adalah keperluan mendapat ulasan yang baik bagi buku terbitan mereka.

Malah, di negara ini, tidak banyak penerbit yang melihat ulasan buku sebagai bentuk promosi. Justeru, tidak hairan jika mereka juga tidak bersedia memperuntukkan sejumlah kos untuk tujuan berkenaan.

Hal itu didedahkan tiga panel, Ketua Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Hariza Mohd Yusuf; Pengarang Sastera & Agama BH, Mohd Nazmi Yaakub dan Editor Mukasurat.com, Shamsul Amin Md Yusuf pada Forum Prospek Pengulas Buku Profesional Dalam Landskap Buku Malaysia di Perbadanan Kota Buku (PKB) di sini.

Hariza berkata, di sebalik USIM yang masih baru dalam penerbitan buku ilmiah dan sukar memasarkan buku ilmiah tempatan, pihaknya masih mampu menerbitkan pelbagai tajuk dan genre buku, meskipun dalam jumlah yang kecil.

"Kalau dibanding dengan Indonesia, memang jauh sampai kadang-kadang malu menyebut apabila ditanya oleh mereka.

"Kami mencetak 500 naskhah sahaja untuk satu tajuk, tetapi ada tajuk dan penulis tertentu yang karya mereka diulang cetak," katanya.

Tegasnya, USIM menyedari kepentingan ulasan buku untuk memaut hati pembaca. Justeru mereka dibantu oleh pensyarah USIM membuat ulasan tajuk buku tertentu sebelum dihantar ke media massa.

Bantu lariskan jualan

"Kami tidak ada banyak peruntukan untuk ulasan buku, tetapi dengan jumlah kecil itu, kami boleh mendapat kerjasama yang baik daripada pensyarah dan akhbar seperti BH," katanya.

Seperti Hariza, Shamsul Amin juga melihat keperluan ulasan buku bagi melariskan lagi jualan apabila PKB memberi ruang khas untuk penulis yang menerbitkan buku sendiri menerusi program Resensi Buku yang diadakan sebulan sekali.

"Buku perlu dipromosi untuk diketahui dan dibeli kerana itu ulasan buku penting.

"Ulasan buku juga tidak seharusnya terikat dengan gaya lama, misalnya di akhbar atau majalah, tetapi juga perlu meneroka medium lain.

"Antaranya menggunakan teknologi seperti book-tube, iaitu konsepnya seperti YouTube, tetapi ia untuk mengulas buku," katanya.

Di negara ini, kata Shamsul Amin, pengguna book-tube yang disebut sebagai book-tuber tidak ramai. Jika ada pun, ia masih banyak mempromosi buku bahasa Inggeris dan terhad kepada genre remaja.

"Ada juga ulasan buku berbahasa Melayu, tetapi dalam kadar yang kecil. Misalnya sebuah buku berbahasa Melayu dalam tempoh sebulan," katanya.

Satu hal menarik, secara perbandingan ulasan buku lebih mendapat tempat di Indonesia kerana jumlah akhbar dan majalah yang jauh lebih banyak diterbitkan.

Di negara ini, ruang dan peluang ini sangat terhad. Ia mungkin juga antara penyebab mengapa penerbit buku tidak melihat keperluan untuk mengambil kira ulasan buku sebagai medium promosi.

Namun, bagi Mohd Nazmi hal ini boleh diubah dan ulasan buku boleh mendapat tempat di media massa arus perdana jika wujud kerjasama yang baik dengan pelbagai pihak dalam industri buku.

226 dibaca
Berita Harian X