Jumaat, 9 March 2018 | 5:53pm
ORANG ramai menyertai protes kempen #MeToo di Seoul, Korea Selatan. - Foto Reuters

Korea Selatan buang karya penyair dituduh cabul

SEOUL: Kempen #MeToo turut melanda Korea Selatan apabila tiga pengarang terkenal negara itu berhadapan dengan tuduhan penderaan seksual.

Pertuduhan itu menyaksikan semua karya dan artikel yang menyebut nama mereka akan dikeluarkan daripada buku teks sekolah menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Korea Selatan.

Kempen #MeToo yang melanda Korea Selatan itu, menyaksikan semakin ramai wanita yang berani tampil mendedahkan mengenai penderaan seksual yang diterima daripada pihak atasan.

Jumlah pendedahan yang semakin meningkat itu mendapat liputan luas akhbar di negara yang secara sosialnya berbentuk patriarki meskipun ia mencapai tahap ekonomi dan teknologi yang pesat.

Antara mereka yang berhadapan dengan tuduhan penderaan seksual termasuklah penyair, Ko Un yang kerap disebut-sebut sebagai calon Hadiah Nobel Kesusasteraan. Selain Ko, turut terseret adalah pengarah terkenal, Lee Yoon-taek dan penulis skrip, Oh Tae-seok.

Penyair, Choi Young-Mi menuduh Ko melakukan penderaan seksual menerusi penerbitan puisi Monster yang secara terperinci menceritakan pengalamannya.

Yoon-taek pula disiasat atas tuduhan merogol dan serangan seksual terhadap lebih 10 pelakon dalam kumpulan teaternya, manakala Tae-seok berhadapan tuduhan yang sama terhadap pelakon serta pelajar.

Lebih 40 karya dan rujukan yang menyebut nama mereka dipadam daripada teks sekolah, kata kenyataan itu yang turut merujuk trio berkenaan sebagai figura yang mencipta kontroversi sosial.

Namun, beberapa karya mereka dikekalkan tetapi tetapi tidak diperincikan.

Un bertindak meletak jawatan Rabu lalu sebagai presiden kepada satu usaha sama penerbitan kamus bahasa Korea Selatan-Korea Utara susulan tuduhan itu.

Un bagaimanapun menafikan semua tuduhan terhadapnya menerusi kenyataan yang diberikan kepada Guardian. Beliau dipetik sebagai berkata, tidak akan membuat apa-apa yang mendatangkan malu kepada isterinya dan dirinya sendiri.

Sementara itu, Yoon-taek memohon maaf kerana mencederakan pelakon wanita berkenaan dan menyebut akan menerima apa saja hukuman tetapi menafikan tuduhan merogol.

Bagaimanapun Tae-seok pula tidak memberi sebarang komen.

Sebelum ini wanita di Korea Selatan tidak berani tampil membuat aduan tentang penderaan seksual yang dihadapi kerana ia dianggap sebagai hal yang memalukan, selain ia membuka ruang untuk dibuli.

Namun pihak pendakwa Seoul Januari lalu, membuat kejutan apabila bercakap mengenai penderaan seksual secara langsung di televisyen yang kemudiannya mencetuskan pertuduhan demi pertuduhan terhadap ramai personaliti hebat daripada artis kepada ahli politik.

Antaranya termasuklah Ahn Hee-jung, iaitu bekas calon presiden dan ahli politik yang mengumumkan peletakan jawatannya sebagai gabenor wilayah serta bersara dari politik selepas berhadapan pelbagai tuduhan rogol.

Hee-jung, 52, turut membatalkan sidang media yang dijadualkan selepas seorang wanita membuat tuduhan bahawa ahli politik itu merogolnya berulang kali.

Pertuduhan penderaan seksual itu dilihat sebagai protes bersempena Sambutan Hari Wanita Sedunia, selain turut mendesak hukuman setimpal selain kempen memberi sokongan kepada mangsa. -AFP

454 dibaca
Berita Harian X