Khamis, 1 March 2018 | 2:51pm
FOTO hiasan.

Harga lukisan dunia bakal mencecah RM3.9 bilion

PARIS: Pasaran seni halus sedang melonjak sehingga ia menunggu masa saja untuk menyaksikan jualan yang bakal mencecah AS$1 bilion (RM3.9 bilion), berdasarkan laporan baharu yang diterima oleh AFP.

Didorong jualan rekod karya Leonardo da Vinci, Salvator Mundi kepada putera Arab Saudi dengan harga AS$450 juta (RM1.8 bilion) pada November lalu, peningkatan yang berlaku dalam pasaran seni halus itu tidka pernah disaksikan sejak tiga dekad, lapor indeks Artprice yang berwibawa.

"Rekod lelongan terhebat sepanjang zaman yang terkini ialah Salvator Mundi yang mewakili permulaan era baharu dalam pasaran seni halus yang penanda aras besar berikutnya akan mencecah AS$1 bilion (RM3.9 bilion).

"Sementara itu, kita pasti akan menyaksikan hasil antara AS$179 juta (RM703 juta) hingga AS$450 juta (RM1.8 bilion) pada tahun ini," kata laporan itu..

Pengasas Artprice, Thierry Ehrmann memberitahu AFP mengenai kebangkitan semula pasaran selepas dua tahun mengalami kejatuhan harga sangat mengagumkan dengan harga melonjak di seluruh dunia pada separuh kedua tahun lalu.

"Semua petunjuk tidak pernah sebaik ini dalam tempoh 30 tahun," katanya yang menambah laporan turut menyarankan semua perkara menunjuk ke arah 'pertumbuhan yang teguh dan berdaya tahan.'

Persaingan untuk hasil seni yang terbaik antara muzium terkemuka - dengan lebih banyak dibina di seluruh dunia - turut memacu lonjakan itu.

"Enjin sebenar kepada pertumbuhan pasaran tidak dapat dipertikaikan lagi tentulah industri muzium.

"Buat pertama kali dalam sejarah, pasaran atasan tidak lagi didorong oleh kehendak golongan jutawan, sebaliknya melalui strategi pengambilaihan yang dirancang untuk menjana wang pada masa depan daripada aliran pengunjung muzium.

"Sebahagian daripada pasaran seni kini didorong oleh logik kunci kira-kira yang menjustifikasikan pengambilalihan yang jumlah mencecah ratusan juta dollar," katanya.

Jualan seni di Amerika Syarikat (AS) melonjak lebih daripada separuh pada separu8h kedua tahun lalu, hampir-hampir menyamai jumlah di Perancis, melebihi satu perempat di Britain dan lebih 20 peratus di China.

Gergasi Asia itu kekal sebagai pasaran seni dunia terbesar, kata Artprice, dengan perolehan AS$5.1 bilion (RM20 bilion) - lebih daripada satu pertiga jumlah global - dengan AS ketinggalan sedikit dengan AS$4.9 bilion (RM19.3 bilion).

Artprice, yang bekerjasama dengan indeks China, Artron, melaporkan 'persaingan sengit antara China dengan AS menjana pertumbuhan hebat di Barat.

"Secara jelas seni mewakili elemen penting dalam persaingan kuasa lunak antara AS dengan China," laporan itu menambah dengan mencatatkan skala yang lebih kecil turut berlaku di negara Teluk dengan Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersaing antara satu sama lain dalam membuka muzium seni baharu yang besar.

Keunggulan China turut ditandai dalam indeks Artprice, senarai teratas 500 artis seni persembahan terbaik dalam lelongan pada tahun lalu.

Artis China mewakili 32.4 peratus daripada jumlah keseluruhan berbanding hanya 16.4 peratus artis Amerika.

Artis China menduduki empat daripada 10 artis yang membuat jualan tertinggi - Qi Baishi, Zhang Daqian, Fu Baoshi dan Zao Wou-Ki - dengan Qi berada pada tangga kelima selepas Leonardo, Picasso, Jean-Michel Basquiat dan Andy Warhol.

Seperti Leonardo, tahun lalu juga menyaksikan rekod lelongan terbaru untuk Basquiat, Qi, Zao, Marc Chagall, Fernand Leger dan Brancusi.

Hasil seni biasanya ditakrifkan seperti lukisan, arca, lakaran, fotografi, cetakan, video, instalasi dan perhiasan sulaman tetapi tidak termasuk perabot serta artifak kebudayaan tradisi.

1259 dibaca
Berita Harian X