Selasa, 19 Disember 2017 | 3:37pm
WA Lone. - Foto REUTERS

Pengarang buku kanak-kanak Myanmar ditahan

YANGON: Bahagian akhir buku ilustrasi untuk kanak-kanak di Myanmar menampilkan guru di sebuah kampung yang sangat disayangi menanam banyak pokok di taman yang cantik memberitahu pelajarnya bahawa masa sudah tiba untuk dia meninggalkan mereka.

"Wahai pelajar," kata guru itu. "Saya tidak akan ada di sini lagi tetapi kamu masih memiliki pohon yang memberikan buah dan teduhan serta mengambil berat dirimu setiap tahun. Jadi kamu akan mengingati saya dan tidak akan bersedih."

Pengarang buku berjudul The Gardener itu, ialah Wa Lone, salah seorang daripada dua wartawan Reuters yang ditahan di sini pada minggu lalu dan dituduh melanggar Akta Rahsia Rasmi yang diwujudkan sejak zaman kolonial.

Wa Lone, 31, dan Kyaw Soe Oo, 27, terbabit dalam liputan Reuters dalam krisis yang menyaksikan kira-kira 650,000 penduduk Muslim Rohingya melarikan diri daripada tindakan keras ketenteraan di wilayah barat Rakhine. Kedua-duanya tidak ditemui selama seminggu.

The Gardener ialah antara siri yang diterbitkan oleh The Third Story Project, usaha diasaskan oleh Wa Lone untuk menerbitkan buku dalam bahasa Burma, bahasa lain di Myanmar dan bahasa Inggeris serta diedarkan secara percuma kepada kanak-kanak di seluruh negara.

Di laman sesawang projek itu, Wa Lone berkata, tujuannya adalah untuk mempromosi toleransi dan keharmonian dalam dunia pelbagai dan berlainan budaya yang semakin meningkat.

"Kurangnya persefahaman membawa masyarakat kepada konflik antara komuniti berbeza dan akhirnya memusnahkan keamanan serta kestabilan.

"Saya menyukai setiap buku Third Story kerana ia menangani isu penting untuk generasi masa depan," tulisnya.

Dalam cerita Wa Lone yang turut membawa mesej kepentingan memelihara alam sekeliling, guru itu menaburkan benih daripada basikalnya dalam perjalanan ke sekolah sehingga tumbuh menjadi pohon yang rendang bertahun-tahun kemudian. Dia juga membina taman bersama-sama pelajarnya yang dijadikan tempat untuk bercerita.

Dia meninggalkan mereka pada suatu hari untuk membantu kampung lain yang berdepan dengan senario pokok ditebang dan ketiadaan buah-buahan, bekalan air serta tempat berlindung untuk manusia dan haiwan.

Halaman akhir buku itu menunjukkan watak watak yang jauh dan kata-kata: "Guru itu mengucapkan selamat tinggal kepada pelajarnya dan mengayuh basikal tuanya menuju ke kampung lain." - Reuters

1181 dibaca
Berita Harian X