Jumaat, 13 Oktober 2017 | 3:12pm
(DARI kiri) Pengarah Penerbitan World Scientific Singapura, Chua Hong Koon; penulis Singapura, Edmund Sim; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron dan Pengasas Bersama MXRi International Singapura dan moderator forum, Gerald Cai. - Foto Hafizah Iszahanid

Teknologi AR beri 'nyawa' kepada buku, budaya membaca

FRANKFURT: Industri buku negara berupaya pulih semula jika memanfaatkan penggunaan teknologi augmented reality (AR) yang membolehkan pembaca melihat objek maya tiga dimensi pada buku fizikal.

Malah AR dijangka dapat menarik semula minat pembaca untuk kembali kepada buku, berbanding kandungan digital yang dibaca sepenuhnya menerusi gajet khususnya telefon pintar.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron, berkata AR ialah teknologi pintar yang memberi nilai tambah besar kepada sesebuah penerbitan khususnya dalam bentuk keseronokan menimba ilmu.

"Dengan bantuan teknologi AR, buku ibarat diberi nyawa dan seolah-olah 'dihidupkan' kerana pelbagai visual, audio, video dan ilustrasi 3D, malah peta lokasi boleh dimuatkan secara digital untuk melengkapkan kandungan, sekali gus menawarkan pengalaman berbeza berbanding membaca secara konvensional," katanya pada Forum AR in Publishing: Disruption or Opportunity di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt 2017 di sini.

Yang turut hadir, Pengasas Bersama MXRi International Singapura dan moderator forum, Gerald Cai; Pengarah Penerbitan World Scientific Singapura, Chua Hong Koon dan penulis Singapura, Edmund Sim.

Mohd Khair berkata, teknologi AR wajar dimanfaat kumpulan penerbit kerana ia alternatif yang dilihat berpotensi mengembalikan minat pembaca kepada buku, sekali gus membantu memulihkan pasaran dalam industri yang dilihat semakin lemah.

Beliau berkata, melihat AR sebagai peluang yang perlu dimanfaat sepenuhnya, ITBM mula mengaplikasi teknologi itu secara percubaan menerusi tiga buku terbitannya, iaitu Malaysia Kita: Buku Aktiviti Kepelbagaian Budaya untuk Golongan Muda Malaysia, Malaysian Superstar Athletes: Azizulhasni Awang dan terkini, Sang Kancil and the Tiger.

"Kami teruja dengan hasilnya, malah berpandangan teknologi ini adalah penanda aras kepada masa depan baharu industri buku tempatan dan antarabangsa.

"Pada masa sama, ia sukar dinafikan sebagai antara alternatif terbaik yang wujud ketika ini bagi tujuan membangkitkan minat serta rasa cinta kepada ilmu," katanya.

Sementara itu, Nie berkata, AR mencetuskan fenomena di China berdasarkan pengalaman mereka menerbitkan majalah sains kanak-kanak antarabangsa Discovery edisi negara itu.

"Peralihan minat pembaca muda China kepada kandungan digital menyebabkan edaran Discovery merosot teruk pada beberapa tahun kebelakangan.

"Bagaimanapun selepas teknologi AR diperkenalkan, permintaan edaran kembali meningkat, malah jumlah langganan naik 20 peratus berbanding sebelumnya," katanya.

Forum itu dianjurkan MXRi International, iaitu organisasi yang bertanggungjawab membangunkan teknologi AR.

316 dibaca
Berita Harian X