Rabu, 11 Oktober 2017 | 7:35am
Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Pesta Buku Frankfurt (FBF), Claudia Kaiser dan Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Malaysia (MABOPA), Arief Hakim Sani Rahmat di Business Club FBF 2017, Frankfurt. - Foto Hafizah Iszahanid

Penganjur Pesta Buku Frankfurt fokus pasaran Malaysia

FRANKFURT: Pasaran buku Malaysia mendapat tumpuan penganjur Pesta Buku Frankfurt (FBF) di sini.

Naib Presiden Pembangunan Perniagaannya, Claudia Kaiser, berkata pihaknya memberikan fokus kepada Malaysia kerana memiliki pasaran yang besar.

"Apatah lagi pasaran penerbitan di Asia Tenggara memang mempunyai potensi yang sangat besar berdasarkan jumlah populasinya mencecah hampir 600 juta penduduk.

"Antara negara yang diberi tumpuan sebelum ini ialah Filipina, manakala Indonesia pernah diundang sebagai negara tamu di sini," katanya ketika menjadi moderator forum Business Club FBF 2017 di Messe Frankfurt di sini, hari ini.

Kaiser mengendalikan sesi forum yang menampilkan Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Malaysia (MABOPA), Arief Hakim Sani Rahmat yang diundang sebagai panel mewakili Malaysia.

Business Club ialah acara pra pembukaan FBF 2017 yang mengundang wakil negara terpilih berkongsi senario penerbitan di negara mereka.

Sementara itu Arief ketika berkongsi pandangannya mengenai dunia penerbitan buku tempatan berkata, walaupun Malaysia berhadapan pasaran yang lembab ketika ini, masa depan industri buku sangat positif kerana 70 peratus penduduknya dalam kategori usia bekerja.

"Golongan ini ialah mereka yang berpendidikan dan membaca buku untuk membentuk diri sendiri selain mendidik anak-anak.

"Intensif kewangan patut diberikan kembali kepada industri buku menjelang bajet 2018 ini," katanya.

FBF yang dimulakan sejak 41 tahun lalu, menjadi pesta buku terbesar di dunia dengan penyertaan daripada 7,150 pempamer dari 104 negara.

Ia dijangka akan dirasmikan secara bersama oleh  Canselor Jerman, Angela Markel dan Presiden Perancis Emmanuel Macron pada petang ini waktu tempatan yang menyaksikan Perancis terpilih sebagai negara tamu.

Penyertaan Malaysia ke FBF 2017 diketuai oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan disertai seramai 31 penerbit.

298 dibaca
Berita Harian X