Isnin, 9 Oktober 2017 | 12:46pm
GAMBAR fail, penerima Hadiah Nobel Sastera 2017, Kazuo Ishiguro bergambar ketika ditemuramah oleh Reuters di New York pada 2005. - Foto REUTERS

Malaysia menang Nobel ibarat sertai Piala Dunia

TIDAK hairan rakyat Jepun khususnya generasi muda terpinga-pinga dengan pengumuman kemenangan Kazuo Ishiguro sebagai Penerima Hadiah Nobel Sastera 2017.

Beliau dibawa berhijrah ke United Kingdom (UK) ketika berusia 5 tahun, sekali gus meninggalkan kota kelahirannya, Nagasaki.

Novelis itu membina kepengarangan dan mencipta nama di negara pusat sastera berbahasa Inggeris, malah menyaingi pengarang berbangsa Inggeris sendiri.

Barangkali antara sisi 'positif' pascakolonial, pengarang seperti Ishiguro menghasilkan karya dalam bahasa Inggeris yang bukan saja setanding, bahkan lebih diperhatikan mutakhir ini.

Namun, lazimnya pengarang ini semakin jauh daripada pengetahuan masyarakat pembaca di negara kelahirannya, apatah lagi negara yang memiliki semangat kebangsaan kuat dan perbezaan bahasa serta sistem tulisan.

Di sebalik kekagetan warga muda Jepun, ketika pintu Akademi Sweden dibuka dan Setiausaha Tetapnya, Sara Danius keluar dengan 'watikah kemenangan', ia membawa berita melegakan khalayak sastera perdana.

Masakan tidak hampir setahun sejak Bob Dylan diumumkan penerimanya tahun lalu, kita hanya digemparkan berita penerima dari Amerika Syarikat (AS) itu yang menyepi termasuk tidak menghadiri majlis penganugerahan.

Tiada diskusi bermakna

Tidak tahu sama ada ia insiden dunia sastera menyedihkan atau menggelikan hati kerana kontroversi dan polemik Dylan itu mewarnai dunia sastera tanpa perbincangan yang bermakna terhadap karya tulisannya!

Ia kembali kepada landasan yang boleh dianggap interpretasi sastera perdana dan karya memiliki substansi sebagai pusat diskusi, kritikan serta perdebatan.

Kenyataan Danius sendiri membuka polemik sihat mengenai karya Ishiguro yang disifatkan sebagai gabungan antara Jane Austen dan Franz Kafka tetapi dengan sedikit campuran Marcel Proust.

"Beliau pengarang berintegriti hebat. Beliau tidak melihat secara serong, sebaliknya membina pandangan alam estetika tersendiri.

"Beliau juga orang yang sangat berminat memahami masa lalu tetapi bukanlah seperti gaya Proust (penulisan panjang, rumit dan nostalgiak) yang cuba menebus kehilangan masa lepas.

"Sebaliknya beliau meneroka apa yang sudah kita lupakan demi meneruskan hidup sebagai individu mahu pun masyarakat," katanya dalam wawancara disiarkan secara dalam talian di laman web The Nobel Prize.

Ditanya harapan selepas kegemparan tahun lalu, Danius berharap ia akan menjadikan dunia lebih bahagia.

"Ia bukan tugas saya menghakiminya, sebaliknya kami memilihnya berdasarkan kekuatannya sebagai novelis unggul," katanya.

Demam Ishiguro di Malaysia

Di negara kita sendiri, 'demam Ishiguro' melanda khalayak pembaca buku termasuk di kedai buku seperti yang berlaku apabila hadiah berprestij diumumkan.

Di kedai buku di ibu kota, novel Ishiguro mula mendapat perhatian, malah ada pelanggan yang membuat pesanan kelapan-lapan judul karya yang dijual.

Inilah kelebihan diperoleh pengarang diumumkan sebagai Penerima Hadiah Nobel Sastera selain hadiah wang tunai bernilai 9 juta krona Sweden (RM4.7 juta).

Secara komersial, buku pemenang akan melonjak di seluruh dunia dengan tumpuan utama di negara sendiri dan dalam kes Ishiguro, lebih beruntung kerana membabitkan UK dan Jepun.

Ini kerana di Jepun, lapan judul terjemahan karya Ishiguro bakal diterbitkan selepas sekian lama pasaran buku negara itu 'dikuasai' oleh karya pengarang seperti Haruki Murakami.

Penerbit Hayakawa Publishing, Hiroyuki Chida seperti dipetik Reuters berkata, pihaknya menerima tempahan 200,000 naskhah.

Hayakawa Publishing mendapat durian runtuh sejak memegang hak eksklusif terjemahan karya Ishiguro sejak 16 tahun lalu kerana dalam tempoh itu, lapan judul novel terjemahan Ishiguro ke bahasa Jepun seperti An Artist of the Floating World, The Remains of the Day dan Never Let Me Go terjual kurang sejuta naskhah saja.

Malaysia belajar dari Nobel

Sebenarnya negara kita termasuk khalayak sastera Malaysia boleh belajar daripada Hadiah Nobel Sastera terutama bagi dua tahun kebelakangan ini.

Ia bukan semata-mata persoalan bilakah kita dapat menyaksikan pengarang Malaysia bakal memenangi Hadiah Nobel Sastera.

Secara analoginya, persoalan dalam bola sepak bukanlah 'bilakah kita akan menang Piala Dunia', sebaliknya apakah isu dan permasalahan sudah dikaji serta apakah perancangan dan strategi akan diambil untuk menjadikan pasukan Malaysia berdaya saing untuk memberi tentangan bermakna kepada kuasa bola sepak dunia.

Itulah juga persoalan Hadiah Nobel Sastera dan kesusasteraan Malaysia; apakah kita sudah mengkaji isu dan permasalahan melanda sastera serta apakah perancangan jangka masa pendek dan panjang untuk mengangkatnya ke pasaran dan pentas antarabangsa.

Sama ada pengarang Malaysia memenangi Hadiah Nobel Sastera, Hadiah Man Booker dan Hadiah Sastera Dublin (IMPAC Dublin), ia hanyalah persoalan 'trivia' serta selalu bergantung kepada 'nasib'.

Bagaimanapun, 'nasib baik' itu tidak mungkin akan menjelma selagi isu seperti substansi karya sastera, usaha penterjemahan, apresiasi dan budaya membaca tidak diletakkan pada neraca yang betul serta diserahkan kepada pihak sebenar yang memiliki keazaman yang kuat, daya intelek yang tinggi serta kefahaman terhadap akal budi bangsa.

Jika tidak, sastera Malaysia hanya akan menjadi mangkuk kecil kepada golongan opurtunis dan pinggiran serta bukannya satu kawah berkhasiat yang dapat dihidangkan kepada seluruh umat manusia.

2258 dibaca
Berita Harian X