Rabu, 4 Oktober 2017 | 9:16am
Salman Rushdie. - Foto AFP

Salman Rushdie antara kontroversi Hadiah Nobel Sastera

PARIS: Menjelang pengumuman Pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan Khamis ini, berikut sebahagian kontroversi yang pernah tercetus sejak penobatan berprestij ini dianugerahkan pada 1901.

Pemenang 1964, iaitu ahli falsafah Perancis, Jean-Paul Sartre, yang sebahagian falsafah politiknya berdasarkan kritikan terhadap institusi, menjadi penulis pertama yang menolak hadiah itu. Beliau memberi alasan bahawa 'sering menolak sebarang penghormatan rasmi.'

Penerima lain pula mengejutkan khalayak kerana mereka juga adalah ahli Akademi Nobel yang memilih pemenang. Mereka termasuklah penerima bersama dari Sweden yang kurang dikenali, iaitu Eyvind Johnson dan Harry Martinson yang menerimanya pada 1974, sekali gus menyingkirkan Graham Greene, Saul Bellow dan Vladimir Nabokov.

Pada 1989, berlaku kekecohan di luar isu penganugerahan hadiah apabila juri meletak jawatan dengan berang apabila Akademi tidak mempertahankan pengarang British, Salman Rushdie secara terang yang dijatuhkan hukuman bunuh oleh Ayatollah Khomeini.

Sepanjang dua dekad lalu, keputusan dua pemenang diterima berbelah bahagi oleh khalayak sastera antarabangsa: Dario Fo, iaitu dramatis dan pelakon Itali yang digambarkan sebagai 'badut' oleh Akademi pada 1997 dan penulis lirik serta penyanyi, Bob Dylan pada 2016 yang menyepi berminggu-minggu apabila diumumkan sebagai pemenang dan tidak endah terhadap majis rasmi penganugerahan.

Akademi Nobel mengiktiraf penulis terkenal dari Amerika Syarikat (AS) seperti William Faulkner pada 1949; Ernest Hemingway (1954) dan John Steinbeck (1962) serta dua pengarang Perancis, Andre Gide (1947) dan Albert Camus (1957).

Nama besar lain ialah Rudyard Kipling pada 1907; Samuel Beckett (1969) dan Gabriel Garcia Marquez (1982).

Bagaimanapun ramai nama berprestij dalam sastera tidak mendapat pengiktirafan dengan Hadiah Nobel seperti Joseph Conrad, James Joyce, Marcel Proust, Paul Valery, Henry James dan Virginia Woolf.

Di sebalik sebahagian calon yang jelas berkelayakan tercicir, Akademi terus dikritik kerana menganugerahi penulis yang kurang dikenali dan menghasilkan karya yang tidak dibaca secara meluas di luar negara mereka: penerima dari Iceland, iaitu Halldor Laxness pada 1955; Erik Axel Karlfeldt (1931); Odysseus Elytis (1979) dan Jaroslav Seifert (1984).

Seramai 14 pemenang wanita menerima Hadiah Nobel Kesusasteraan tetapi hanya enam penerima antara 1901 hingga 1990.

Bermula 1901 hingga 1985, hanya lapan pemenang dipilih dari luar Eropah dan AS.

India hanya memiliki seorang penerima, iaitu Rabindranath Tagore pada 1913, manakala dunia Arab kekal dengan pengarang Mesir, Naguib Mahfouz yang menerimanya pada 1988.

Antara kemungkinan alasan ialah sebelum ini juri Hadiah Nobel sukar untuk menilai karya sastera bukan Eropah disebabkan terjemahan sangat kurang dan maklumat sukar diperoleh sebelum adanya internet.

Pada 1986, pengarang Nigeria, Wole Soyinka menjadi pemenang Afrika pertama diiktiraf. Pengarang China pertama pula ialah Gao Xingjian pada 2000, manakala tahun 2006 menyaksikan Orhan Pamuk dinobatkan sebagai penulis Turki pertama dalam senarai penganugerahan.

Institusi Nobel mempertahankan polisi idealisnya berdasarkan wasiat pengasasnya, Alfred Nobel.

Menyusur sejarah, Akademi sering menyokong orang buangan politik, penentang, pemimpin pembangkang dan pengarang yang karyanya diharamkan daripada diterbitkan di negara sendiri.

Ini termasuklah Miguel Angel Asturias dari Guatemala pada 1967 dan Pablo Neruda dari Chile (1971).

Ketika era Perang Dingin pula, beberapa pilihan tidak dibuat berdasarkan alasan sastera semata-mata seperti Czeslaw Milosz dari Poland pada 1980 dan Jaroslav Seifert dari Czechoslovakia (1984).

Insiden paling terkenal adalah pada 1970, apabila pengarang Soviet, Alexander Solzhenitsyn terpaksa menolak hadiah kerana bimbang beliau tidak dapat pulang ke tanah airnya selepas keluar dari negaranya untuk menerima hadiah berkenaan. Bagaimanapun, beliau akhirnya menerima anugerah berkenaan, empat tahun kemudian. - AFP

547 dibaca
Berita Harian X