Sabtu, 9 September 2017 | 3:58pm
PRESIDEN PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad (tiga dari kiri) pada Mesyuarat Agung PENA ke-54 di Rumah PENA, hari ini. - Foto NSTP

Budayawan bahasa, persuratan rasa terpinggir dalam TN50

KUALA LUMPUR: Budayawan bahasa dan persuratan meluahkan rasa dipinggirkan dalam pembentukan aspirasi Transformasi Nasional 50 (TN50).

Luahan itu dibuat oleh Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad yang menganggap mereka yang terbabit dengan bahasa dan persuratan diberi layanan kelas dua berbanding dengan golongan yang terbabit dalam industri hiburan.

"Apa yang saya lihat masih belum ada kesungguhan untuk membabitkan kelompok bahasa dan persuratan dalam agenda TN50, malah perbincangan yang ada nampaknya hanya dalam skala main-main.

"Golongan bahasa dan persuratan ini mungkin dianggap tidak berguna dalam pembinaan sesebuah negara kerana tidak banyak memberi keuntungan material dan tidak terbabit dalam industri hiburan yang bersifat komersialisme serta kosumerisme.

"Bagaimanapun perlu diingat golongan bahasa dan persuratan ini berada dalam kelompok yang berfungsi membina intelektualiti dan menggalakkan pemikiran kritis serta bukan hanya pengekor semata-mata," katanya dalam ucapan pembukaan pada Mesyuarat Agung PENA ke-54 di Rumah PENA di sini, hari ini.

Mohamad Saleeh berkata, antara pemimpin dengan rakyat memiliki hubungan simbiotik yang saling melengkapi terutamanya dalam sistem demokrasi.

Mohamad Saleeh berkata, pemimpin hari ini perlu menghayati Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang antaranya mahu bahasa Melayu ditetapkan sebagai bahasa kebangsaan.

"Itu adalah sebahagian syarat persetujuan Raja-Raja Melayu dalam menerima pembahagian kek kemerdekaan. Oleh itu, jangan sesekali membunuh bahasa Melayu.

"Bagi rakyat kecil yang hanya memiliki suara, jangan pula takut mempertahankan Perlembagaan Persekutuan terutamanya dalam konteks bahasa Melayu itu sendiri," katanya.

Ditanya mengenai perbincangan TN50 yang membabitkan seniman sebelum ini, Mohamad Saleeh berkata, tiada penggiat bahasa dan kesusasteraan yang menerima jemputan sedemikian.

248 dibaca
Berita Harian X