Sabtu, 9 September 2017 | 3:46pm
DARI kiri: Budiman, Zamsari, Vida, Zinitulniza dan Mohd Khair pada Majlis Pelancaran Buku I Am Me : Rahsia Niaga DSVida di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) 2017, Pusat Konvensyen Jakarta (JCC). - Foto Hafizah Iszahanid

Buku Vida kongsi pengalaman niaga dengan Indonesia

JAKARTA: Pelancaran buku I Am Me: Rahsia Niaga DSVida yang berlangsung di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) 2017 di sini, hari ini, menjadi perkongsian pengalaman dalam perniagaan dengan pasaran Indonesia.

Buku tulisan Zinitulniza Abdul Kadir itu adalah catatan pengalaman usahawan popular, Datuk Seri Dr Hamiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

Pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Budiman Mohd Zohdi berkata Indonesia dan Malaysia memiliki banyak persamaan budaya, bahasa dan sejarah yang boleh menjadi faktor penarik kepada naskhah berkenaan.

"Kami berterima kasih kerana Datuk Seri Vida sudi bekerjasama dengan kami dalam penerbitan naskhah ini.

"Buku ini adalah kisah kisah mencabar diri sebelum berjaya," katanya pada Majlis Pelancaran Buku I Am Me: Rahsia Niaga DSVida di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia ke Indonesia, Zamsari Shaharan; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd Khair Ngadiron dan Vida.

Sementara itu, Mohd Khair berkata, penerbitan naskhah itu adalah dokumentasi sisi lain Vida yang tidak pernah diketahui umum.

"Kisah beliau ini boleh memberikan inspirasi dan dikongsi oleh masyarakat Malaysia, sekali gus mempunyai potensi untuk diterima pasaran Indonesia," katanya.

Sementara itu, Vida berkata, buku berkenaan adalah himpunan tips dan pengalaman perniagaannya selama 16 tahun.

"Saya sudah melalui jatuh bangun pahit manis berniaga. Baca buku ini bagi mengelakkan anda mengeluarkan wang untuk perkara yang sia-sia," katanya.

IIBF 2017 berlangsung sejak Rabu lalu hingga esok, turut disertai delegasi penerbitan Malaysia yang dikendalikan oleh ITBM dan Perbadanan Kota Buku (PKB).

240 dibaca
Berita Harian X