Jumaat, 8 September 2017 | 11:40am

Gulistan karya Sa'di bukan hanya warisan Parsi, Iran

PENTERJEMAHAN dan penerbitan karya agung, Gulistan oleh Sa'di al-Shirazi ke dalam bahasa Melayu dengan judul Taman Mawar, ibarat bunga yang mengharumkan khazanah persuratan tanah air.

Ini kerana karya penyair dan pengembara abad ke-13 itu menjadi warisan dunia Islam yang tidak terhad kepada khazanah kesusasteraan Parsi, iaitu wilayah yang kini dikenali sebagai Iran dan negara sekitarnya.

Tanggapan umum mungkin lebih terarah kepada Syiah apabila menyebut Parsi tetapi wilayah itu hanya dikuasai aliran berkenaan ketika empayar Safavid pada abad ke-16.

Hakikatnya warisan persuratan dan kesusasteraan Parsi hakikatnya adalah milik kolektif umat Islam.

Apatah lagi Sa'di seperti tokoh sufi dan penyair lain termasuk Fariduddin Attar serta Maulana Jalaluddin Rumi adalah dari Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Banyak pengajaran yang dirakam dalam Gulistan yang terbahagi kepada lapan bab ini, iaitu sejarah Raja-raja, akhlak sang darwis atau faqir, sifat qanaah, kelebihan berdiam diri, cinta dan masa muda, kelemahan serta zaman tua, pendidikan dan adab.

Gulistan ditulis oleh Sa'di dengan gaya yang sangat unik dengan menggabungkan elemen prosa dan puisi, manakala anekdotnya tajam menikam tetapi mengena.

Pembaca Malaysia yang terlebih prihatin dengan politik dan pemerintahan tentu akan tersenyum membaca pesan yang ditinggalkan oleh Sa'di tanpa menyedari mereka sendiri sepatutnya terasa.

Ini kerana raja dan kerajaan tidak hanya boleh dilihat pada lapis materialistik, sebaliknya ia patut dihubungkan dengan hadis Nabi yang mengibaratkan hati sebagai raja yang mentadbir seluruh anggota badan.

Malah kalaupun masih tidak terasa pada bab pertama, baki tujuh bab lagi dapat dijadikan pengajaran untuk membentuk pekerti dan mendidik jiwa dalam perjalanan hakiki menuju alam abadi.

Dalam Gulistan, Sa'di ibarat sang pekebun yang menunjukkan kaedah bagaimana membentuk taman yang boleh diibaratkan sebagai jiwa kepada insan.

Bagaimanapun, tidak semuanya yang dikarang oleh Sa'di dapat difahami dengan mudah apatah lagi sebahagiannya 'hilang' dalam penterjemahan yang agak tergesa-gesa.

Ini termasuklah ada perkataan yang diterjemahkan agak janggal, apatah lagi mengekalkan imbuhan yang sepatutnya boleh digugurkan untuk menimbulkan kesan puitis.

Selain itu, apa yang hilang juga ialah nama penterjemah yang sepatutnya diberikan penghormatan sebagai pembuka pintu kepada pembaca untuk masuk ke Taman Mawar milik Sa'di.

Selepas Mathnawi karya Rumi dan Mantiq at-Tayr (Attar) diterjemah mutakhir ini, kita mengharapkan lebih banyak warisan sah kita 'dikembalikan' kepada semua pewarisnya termasuk di alam Melayu ini.

INFO: Taman Mawar
Penulis: Muslih al-Din Sa'di al-Shirazi
Penterjemah: Tidak dinyatakan
Penilaian: 4.

237 dibaca
Berita Harian X