Rabu, 6 September 2017 | 6:00am
Usaha sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan RTM mengangkat novel Srengenge karya Sasterawan Negara (SN) Datuk Shahnon Ahmad yang ditonton di RTM, Mei lalu.

Seni sebagai gelombang pemikiran aliran baharu

Kecenderungan mengangkat karya sastera ke filem agak pudar mutakhir ini. Hanya usaha sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan RTM mengangkat novel Srengenge karya Sasterawan Negara (SN) Datuk Shahnon Ahmad yang ditonton di RTM, Mei lalu. Telemovie digarap baik itu, memberikan harapan untuk melihat lebih banyak karya besar dibawa ke layar gambar, sekali gus menghidup seni dengan pemikiran yang kuat.

Kebelakangan ini, keghairahan adaptasi buku cerita cinta pop ke layar gambar, mengutip pulangan lumayan. Ia tidak menyumbangkan apa-apa pencapaian pemikiran dan estetika dalam seni, sebaliknya lebih kepada tujuan hiburan dan mencari keuntungan, sekali gus terkeluar daripada harapan besar terhadap seni agung. Adaptasi buku cinta adalah kerja mencari keuntungan untuk dunia hiburan dan bukan kerja seni erti kata sebenar.

Membawa karya besar ke layar, pertamanya harus melihat karya itu sendiri. Keduanya, perlu melihat kepada kerja seni menjurus kepada keutamaan estetika dan pemikiran. Dua perkara ini dapat membentuk bukan sahaja sinergi dan simbiosis saling melengkapkan, bahkan hasil menakjubkan. Simbiosis sastera dan filem dapat membentuk atau membina aliran pemikiran yang mampu melahirkan gelombang baharu seni.

Filem Dunkirk ialah epik moden di tangan Christopher Nolan, menampilkan perang tanpa perang. Menonton Dunkirk seperti membaca novel karya sastera tinggi. Nolan meletakkan ceritanya dalam tiga pembahagian, iaitu darat di jeti Dunkirk (mole) yang mengambil waktu seminggu, laut (sea) di bot yang mengambil waktu sehari dan udara (air) di pesawat udara yang mengambil waktu sejam.

Tiga bahagian Dunkirk

Di darat, Tommy askar bawahan mencari jalan melepaskan diri daripada perang. Di laut, Mr Dawson menyahut seruan menyertai bot awam membawa keluar askar terkepung di Dunkirk. Di udara, tiga juruterbang Britain menghala ke Dunkirk mempertahan kapal berkenaan.

Dalam satu wawancara, Nolan menyatakan simetri ruang dan masa dalam tiga pembahagian cerita dalam Dunkirk adalah pendekatan dalam aliran visceral realism, diperkenalkan dalam novel Roberto Bolano, penulis kelahiran Chile yang mengembangkan dirinya di Mexico. Bolano bergabung dengan sekumpulan penyair di Universiti Mexico dan menggelarkan mereka sebagai infrarealist.

Novel Bolano yang terkenal, Savage Detectives (Los Detectives Salvajes 1998) menampilkan bentuk penceritaan dalam tiga pembahagian cerita dengan simetri ruang dan waktu. Ia naratif pencarian penyair Mexico dekad 1920-an, iaitu Cesarea Tinajero oleh dua penyair dekad 1970-an, Arturo Belano dan Ulises Lima.

Buku pertama, naratif Juan Garcia Madero dan kumpulan penyair muda menggelarkan diri, Visceral Realism menelusuri Mexico City. Buku kedua dan terpanjang dengan tempoh 20 tahun, naratif Arturo Belano dan Ulises Lima. Buku ketiga kembali kepada naratif Madero dan Cesarea Tinajero.

Visceral realism mengambil inti pati pandangan Chirico, pelukis surealis - pemikiran harus keluar daripada logik dan rasa yang baik, keluar daripada semua masalah manusia hingga melahirkan aspek baharu seperti gugusan bintang pertama kali muncul. Bolano yang mengemukakan aliran ini dalam novelnya mengenai sensasi bukan dari kekosongan, tetapi keadaan realiti dalam ribuan cara dan mengalir tetap dengan pantulan masa terputus daripada realiti tertentu.

Aliran sastera dibawa ke filem

Apa dibawa oleh visceral realism pada penemuan akhirnya ialah simetri ruang dan waktu mengisi setiap naratif, dengan naratif dilihat sebagai realiti diketahui dan tidak diketahui. Ia membabitkan sesuatu dalaman (visceral) menampung sesuatu luaran (reality). Ia menjadi pengukuran simetrikal terhadap pertembungan ruang dan waktu dalam naratif. Ini berlaku dalam Bolano dan dijelaskan secara visual dalam Dunkirk.

Menariknya di sini, aliran dalam perkembangan sastera dibawa masuk ke dalam filem dalam memperkatakan konsep simetri ruang dan waktu. Begitu juga aliran dalam perkembangan filem, seni lukis dan bidang lain menyelusup masuk ke dalam sastera. Ini memperlihatkan seni bergabung baik dan mencipta gelombang baharu apabila wujudnya pemikiran dalam menunjangi setiap kerja seni itu sendiri.

Seniman bukan kilang, mesin

Hari ini seniman di negara ini baik dalam sastera, filem atau seni tampak harus menjadi seniman-pemikir dan bukan lagi 'kilang atau mesin' mencetak cerita, gambar dan aksi dengan menjual hiburan. Alasannya sering terperangkap dengan keperluan untuk mendapatkan pulangan wang bagi meneruskan kelangsungan kerja seni. Sememangnya seniman adalah manusia biasa yang mempunyai keperluan materialnya.

Namun, alasan material tidak seharusnya menjadi tembok menutup dunia seni daripada maju dengan pencapaian pemikiran dan estetika. Aliran seni mengemukakan konsep visceral realism contohnya menunjukkan bagaimana pengarang dan pengarah pada masa sama menjadi pemikir untuk membina seni yang berfikir, tentang konsep ruang dan waktu sebagai garis simetri yang dapat berkembang dalam naratif.

Mara untuk mencari sesuatu baharu, sekali gus menemukan segala kontradiksinya, pembatalan yang lama dalam bentuk yang tidak kelihatan untuk memperjelaskannya. Di sini, visceral realism menyatakan matlamat kehadirannya - seni sebagai gelombang pemikiran.

Penulis adalah Pengarang dan Penerima Anugerah SEA White

287 dibaca
Berita Harian X