Rabu, 25 March 2015 | 12:11am

Motif bangau, perahu Melayu Pantai Timur


ANTARA rekaan perahu yang digunakan nelayan di Pantai Timur.

Perhiasan perahu menjadi elemen penting kepada masyarakat nelayan Melayu termasuk di Pantai Timur, manakala motif yang paling banyak digunakan untuk menghiasi perahu ialah bangau.

Motif bangau bukan sekadar memperlihat kehalusan seni dan budaya yang begitu menebal, bahkan mempunyai fungsi lebih besar kerana melambangkan semangat dan kekuatan kepada masyarakat nelayan ketika turun ke laut pada masa dulu.

Penggunaan motif ini menarik minat pengkaji untuk mendalami falsafah dan nilai estetika di sebalik bentuk bangau pada perahu nelayan di Pantai Timur seperti yang dilakukan oleh kumpulan penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kajian Teknologi, Bentuk dan Falsafah Perahu Pantai Timur itu diletakkan di bawah seliaan Felo Penyelidik Utama dan Felo Penyelidik Kanan ATMA, Prof Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman serta Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli.

Perahu tradisional di Pantai Timur dengan motif bangau masih dapat dilihat di beberapa perkampungan nelayan seperti Pulau Gajah, Pantai Kemasin, Tok Bali dan Pantai Senak di Kelantan.

Calon doktor falsafah (PhD) ATMA, Mohd Rohaizat Abdul Wahab, berkata penggunaan motif bangau pada perahu dipengaruhi pelbagai faktor termasuk unsur ritual, iaitu kepercayaan masyarakat Melayu dulu yang mengaitkannya dengan sifat keperwiraan, kesuburan dan pelindung.


KUMPULAN Kajian Teknologi, Bentuk dan Falsafah Perahu Pantai Timur Institut Alam & Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan kajian di Pantai Timur.

Simbolik kehandalan

"Walaupun tiada sebarang rekod bertulis mengenai persoalan asal-usul wujudnya perhiasan pada perahu tradisional Melayu, Tome Pires dalam catatannya pada abad ke-16 mendedahkan beliau pernah melihat perahu yang digunakan masyarakat Melayu dihiasi pelbagai ukiran kayu yang berbentuk seperti naga.

"Mengikut kepercayaan orang Melayu lama, bangau menjadi simbolisme bagi nelayan yang mencari rezeki di laut, selain dikaitkan dengan kehandalan yang dimiliki oleh burung bangau bagi meramal kawasan yang mempunyai banyak ikan," katanya.

Mohd Rohaizat dalam makalahnya, Bentuk Bangau Pada Perahu Tradisional di Pantai Timur berkata, motif bangau biasanya dilihat pada bahagian hadapan dan sebelah kiri perahu dengan fungsi utamanya sebagai penyangga kepada tiang layar.

Inisiatif tokoh seni ukiran kayu Melayu seperti Abdul Latiff Long yang mengumpul koleksi motif bangau digunakan pada perahu tradisional Melayu turut membawa kepada penemuan pelbagai motif bangau menyerupai burung, kepala naga, watak wayang kulit, ikan, tombak dan bulan sabit.


PENGHASILAN perahu dilakukan dengan teliti bagi memastikan ketahanannya.

Bentuk kepala garuda

"Berdasarkan pengelasan yang dibuat, bentuk kepala garuda paling banyak digunakan oleh nelayan Pantai Timur, iaitu pada Perahu Payang dan Perahu Buatan Darat.

"Kepelbagaian motif bangau yang dihasilkan untuk menghiasi perahu juga mempunyai pertalian dengan kepercayaan masyarakat dulu, antaranya bentuk naga berkait dengan penemuan prasasti Dong Yeng Chao," katanya.

Penemuan prasasti pada tahun 1885 itu, kata Mohd Rohaizat, dianggarkan wujud sekitar abad ke-4 itu, sekali gus menunjukkan hubungan masyarakat Melayu dengan naga yang dianggap simbol kekuasaan dan pelindung.

Bagaimanapun, peralihan bentuk bangau daripada objek ritual kepada objek budaya mula berlaku dengan kedatangan Islam, sekali gus dianggap seni masyarakat pesisir yang unik dan memiliki falsafah tersendiri.


PENGGUNAAN enjin petrol pada perahu nelayan menyebabkan tumpuan kepada motif perhiasan seperti bangau tidak lagi menjadi keutamaan. - Foto Rosli Ilham

Koleksi pameran, muzium

"Perhiasan pada perahu kini diangkat sebagai hasil seni, bahkan menjadi bahan koleksi pameran yang dipamerkan di beberapa muzium seperti Muzium Negara, Muzium Negeri Kelantan, Muzium Negeri Terengganu dan Muzium Nelayan, selain turut dikumpul sebagai koleksi oleh peminat barangan lama.

"Apatah lagi sejak sekitar tahun 1945, masyarakat nelayan di Pantai Timur mula diperkenalkan dengan penggunaan enjin petrol pada perahu nelayan yang menyebabkan tumpuan kepada perhiasan seperti bangau mula berkurangan," katanya.

Beliau berkata, penggunaan motif bangau pada masa kini, lebih dianggap sebagai warisan seni hiasan yang bertujuan mencantikkan perahu dan meninggalkan kepercayaan lama.


BANGAU menjadi simbol dalam masyarakat nelayan Pantai Timur kerana kehandalan haiwan itu meramal perairan yang banyak ikan. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

164 dibaca
Berita Harian X