Rabu, 11 March 2015 | 12:04am
TAN Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin melancarkan pelancaran buku Jumping Jack Flash dan Wajah M50 Kini yang ditulis oleh U-Wei Saari bersama U-Wei Saari (dua dari kiri), pemilik Galeri Seni Morne, Morne Hashim (tiga dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Mohd. Khir Ngadiron di Kedai Buku Kinokuniya, KLCC - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PENULIS Sutung Omar RS (kiri) menerangkan mengenai buku hasil tulisannya yang berjudul Ratib Kalbu pada perbincangan Kata Pembaca, Kata Pengarang bersama AJK Pena, Muhammad Lutfi Ishak (tengah) dan penyair yang juga editor majalah portal Istana Budaya, Rahimidin Zahari di Rumah Pena di Bukit Petaling, Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan
SITI Nur Hidayah Abd Rahman, 21 melihat buku pada pamaran di majlis perasmian Ekspo Buku ke-2 Mara di Ruang Legar, Medan Mara, Kuala Lumpur. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KL Ibu Kota Buku Dunia

shyusop@bh.com.my

BANGKOK menjadi lokasi ke-14 menerima status Ibu Kota Buku Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak ia diperkenalkan pada tahun 2001.

Status yang kali pertama diterima oleh Madrid, Sepanyol itu, secara tidak langsung menimbulkan persoalan kedudukan Kuala Lumpur (KL) sendiri kerana Malaysia dan Thailand berada pada tahap hampir sama terutama dalam konteks celik huruf yang tidak jauh berbeza.

Apakah statistik itu saja mencukupi atau sebenarnya industri buku tanah air masih ketinggalan dalam banyak aspek menyebabkan Kuala Lumpur ketinggalan berbanding Bangkok dalam menerima penganugerahan berkenaan?


SASTERAWAN Negara (SN), Datuk Baharudin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Sasterawan Negara (SN), Datuk Baharudin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain mengakui kedua-dua negara itu berada pada landasan sama, tetapi Thailand dengan jumlah rakyat hampir 70 juta penduduk, mempunyai kelebihan dalam penerbitan buku berbanding Malaysia.

Baha Zain berkata, sebagai negara yang memiliki masyarakat satu budaya, sebahagian besar rakyat Thailand boleh bertutur dalam bahasa Thailand, sekali gus membolehkan pasaran bukunya berkembang dengan meluas.


ANTARA orang ramai melihat buku pada Pameran Big Bad Wolf di The Mines, Seri Kembangan. - Foto Azhar Ramli

Perlu bina strategi

"Penerbitan buku di Thailand dan Malaysia tidak sama kerana pasaran buku negara Gajah Putih itu lebih besar, manakala kebanyakan buku yang dibawa masuk ke negara itu juga akan dialih ke bahasa Thai terlebih dulu.

"Bagaimanapun, perbezaan itu seharusnya tidak menghalang Malaysia membina strategi untuk mengangkat dunia buku negara ini ke tahap lebih tinggi termasuk melalui penganugerahan status Ibu Kota Buku Dunia," katanya.

Sesuai dengan sifat dunia perbukuan yang menjadi tunjang dan melengkapi pembangunan, Baha Zain berkata, Kuala Lumpur mempunyai kelebihan apabila majoriti penduduknya ialah golongan kelas menengah yang memiliki daya beli tinggi dan berminat dengan ilmu.

"Demi merealisasikan hasrat melihat Kuala Lumpur menerima status Ibu Kota Buku Dunia, pemain industri buku termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) perlu menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kerjasama itu bertujuan merencana strategi termasuk menyediakan lebih banyak ruang dan lokasi untuk aktiviti perbukuan bagi memperluaskan capaian masyarakat kepada bahan bacaan," katanya.

Menurut Baha Zain, langkah itu lebih mudah sekiranya turut didukung Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang boleh menjadikan buku sebagai antara produk pelancongan, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

Angkat karya klasik, sastera

Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Muhammad Lutfi Ishak senada dengan Baha Zain apabila menyarankan industri buku tanah air mengangkat karya klasik agung yang dapat mewakili pemikiran tinggi bangsa dalam bidang sastera, falsafah dan agama.


AHLI Jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Muhammad Lutfi Ishak. - Foto Shiraz Ali

"Malaysia mempunyai banyak perkara yang boleh diketengahkan dalam industri buku termasuk kemakmuran masyarakat majmuk yang tidak dipunyai negara lain.

"Apa yang penting, penekanan kepada identiti masyarakat majmuk itu tidak menolak hakikat bahawa bahasa Melayu dan Islam masing-masing berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan agama rasmi di negara ini," katanya.

Pada masa sama, Muhammad Lutfi turut mencadangkan Hari Buku dipromosi sebagai acara penting bagi membolehkan ia mendapat liputan meluas, manakala agenda meningkatkan jumlah pembaca buku sastera tinggi dipertingkatkan.

KL sarat agenda perbukuan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mustar, berkata Kuala Lumpur sudah layak menerima penganugerahan Ibu Kota Buku Dunia dengan mengambil kira kriteria digariskan UNESCO sebelum ini.


KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mustar. - Foto Salhani Ibrahim

Katanya, Kuala Lumpur sememangnya sarat dengan agenda perbukuan yang diselenggara agensi kerajaan dan swasta, malah pesta buku saja sudah memenuhi jadual aktiviti berkenaan saban tahun.

"Apa yang penting ialah badan yang menyelenggara maklumat, merumus dan menyerahkan pencalonan kepada UNESCO supaya untuk tempoh akan datang, Kuala Lumpur boleh dipilih sebagai Ibu Kota Buku Dunia. Ia masih belum terlambat dan boleh menjadi buah tangan yang indah sebelum tahun 2020," katanya.

Berita Harian X